Sunday, October 24, 2010 ·

Tujuh nilai transformasi UMNO

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli dan pemimpin UMNO di semua peringkat supaya berhenti "menjadi kaki hantuk, batu ronson (batu api) dan jawatankuasa mandi" bagi menyelesaikan masalah dalam parti.

Tindakan di bawah tajuk 'UMNO Menuju Sifar Masalah' itu digariskan sebagai satu daripada tujuh perkara yang perlu dilakukan oleh ahli dan pemimpin parti tersebut untuk melakukan transformasi dalam parti tersebut.

"Saya mintalah, bantulah, cari penyelesaian, yang kaki hantuk tu, kaki batu 'ronson', ada jawatankuasa mandi, apa semua ni? Cukup, tak usah buat kerja ini lagi.

"Menjelang PRU-13 (Pilihan Raya Umum Ke-13) ini, kita concentrate (tumpukan) menang! Kuatkan UMNO peringkat bahagian," katanya dalam ucapan penggulungan Presiden UMNO pada akhir perhimpunan parti itu yang ke-61 di sini hari ini.

Selain itu, enam perkara lain yang digariskan Najib hasil rangkuman intipati ucapan beliau dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta perwakilan sepanjang perhimpunan adalah:

* Menjaga maruah dan kepentingan parti lebih daripada kepentingan diri.

* Bertindak bukan dalam kumpulan tetapi sebagai satu pasukan.

* Memahami pemikiran, hati dan jiwa rakyat.

* Menjadi juara media baru.

* Memenangi sokongan empat juta pengundi baru.

* Mendahulukan rakyat!

Najib berkata, tema yang paling sesuai untuk model transformasi politik UMNO adalah 'mendahulukan rakyat.'

Beliau turut mengaitkan kesediaan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed memberi laluan kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) di Galas, dengan elemen pertama transformasi parti.

Menurutnya, elemen itu akan menentukan bahawa maruah dan kepentingan parti lebih penting daripada maruah dan kepentingan diri.

"Apabila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya DUN Galas, Tok Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh kerana apa? Kerana dia nak menang.

"Maknanya bukan soal maruah diri, bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri tapi diutamakan parti mesti menang," tegasnya.

Beliau menegaskan transformasi itu mesti dilaksanakan di semua peringkat kerana ia amat perlu untuk memperkuatkan parti khususnya bagi memenangi pilihan raya akan datang.

Perdana Menteri berkata, proses transformasi parti itu sebenarnya sudah bermula pada perhimpunan tahun lepas apabila pindaan perlembagaan dibuat bagi membolehkan pemilihan untuk jawatan Majlis Tertinggi ditentukan kira-kira 140,000 ahli.

"Dulu ada kuota, (dapat) 58 bahagian baru layak calon presiden. Saya betul-betul menyerah nasib kepada perwakilan.

"Ini UMNO, kita beri kepercayaan kepada ahli, ahli tentukan siapa yang boleh buat kerja, UMNO nak pemimpin yang boleh berbakti kepada negara dan rakyat," katanya.

Menurutnya, kesemua perkara yang digariskan itu bukan sesuatu yang baru sebaliknya adalah asas perjuangan parti yang disebut semula dalam bentuk cadangan oleh perwakilan yang mengambil bahagian dalam perbahasan pada perhimpunan kali ini.

Najib berkata, apa yang penting kini ialah rakyat mesti didahulukan dan kepimpinan UMNO mesti sentiasa dekat di hati rakyat dalam apa juga tindakan.

www.utusan.com.my

0 comments: