UMNO tidak takut untuk berubah

Wednesday, November 4, 2009 · 0 comments

Utusan - 16/10/2009
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

pengarang@utusan.com.my
UMNO mungkin satu-satunya parti yang paling responsif kepada perkembangan semasa!
Untuk menjadi parti yang dinamik dan memenuhi kehendak ahli dan rakyat terbanyak, ia tidak takut untuk berubah.
Jika sebelum ini, perlembagaan parti dipinda untuk memperkenalkan sistem kuota bertujuan mengekang politik wang, semalam - UMNO tidak segan berpatah balik menghapuskan sistem kuota demi matlamat yang sama membanteras gejala negatif itu.
Untuk menjadi lebih demokratik, pindaan dimuktamadkan bagi memulangkan proses memilih pemimpin tertinggi kepada 146,500 perwakilan di peringkat bahagian. Sebelum ini, ia menjadi hak eksklusif 2,500 perwakilan yang layak ke Perhimpunan Agung UMNO.
Pindaan semalam juga menghapuskan halangan untuk ahli UMNO bertanding, selain syarat minimum ditetapkan untuk calon yang bertanding di peringkat bahagian atau pusat.
Menjadi harapan semua pindaan tujuh fasal serta 41 klausa dalam perlembagaan parti itu mampu menjadi serampang pelbagai mata - merealisasikan pelbagai matlamat murni yang dicitakan di sebalik usaha pindaan itu.
Mudah-mudahan hasrat dan semangat pindaan tercapai.
Selepas proses menjadi ahli UMNO dipermudahkan - seperti disentuh Presiden - diharap tidak ada lagi kes borang permohonan 'hilang' di tengah jalan atau cicir di mana-mana.
Kuasa telah diberikan kepada ketua cawangan dan ketua-ketua sayap di peringkat cawangan untuk meluluskan permohonan.
Justeru sejauh mana keupayaan sesebuah cawangan menarik penyertaan penduduk di kawasan mereka menganggotai UMNO memang patut menjadi ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Tidak patut lagi timbul masalah untuk sesiapa pun menjadi ahli di mana-mana cawangan.
Apatah lagi isu remeh kegagalan ahli menghadiri mesyuarat gara-gara tidak membayar yuran tahunan RM2.
Jika masih ada masalah, ia akan dilihat sebagai onar peringkat cawangan!
Dayung sudah di tangan - terpulang kepada ahli menggerakkan perahu perubahan untuk membawa parti terus maju ke depan.
Tidak ada gunanya jika Presiden dan Timbalan Presiden parti sahaja sanggup membuang perisai yang melindungi kedudukan mereka sedangkan orang lain terus mahu bergayut dengan jawatan.
Sikap sebeginilah yang mendorong menularnya politik wang.
Keikhlasan UMNO untuk berubah memulangkan hak memilih pemimpin parti itu kepada akar umbi, akan dinilai rakyat.
Tidak boleh tidak, pemimpin perlu mendekati ahli akar umbi kerana golongan ini yang hampir dengan rakyat akan menilai prestasi mereka.
Mungkin ada suara-suara pesimis yang sangsi dengan perubahan ini. Namun kesan positif pindaan perlembagaan sebenarnya tidak dapat dinafikan.
Suka atau tidak, mahu tidak mahu, pemimpin UMNO perlu turun ke bawah berjumpa rakyat.
Ini kerana, era pemimpin yang hanya popular di peringkat nasional atau dalam kalangan perwakilan di PWTC sahaja sudah berlalu.

Sahut amanat Presiden UMNO dengan keazaman dekati rakyat

· 0 comments

Utusan - 16/10/2009
UCAPAN dasar sulung Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO ke-60 semalam seharusnya menyentak minda para perwakilan.
Mesej Najib mesti dibawa pulang ke kawasan masing-masing setelah perhimpunan tamat petang ini.
Najib telah menghuraikan beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan.
Malah membangkitkan semangat dan keazaman pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu. Justeru UMNO perlu menyusun strategi perjuangan yang perlu digembleng oleh ahli-ahli parti.
Selain membangkitkan perlunya usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat dan integriti parti, ucapan dasar Presiden UMNO itu turut mengungkap seruan menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum.
UMNO perlu ingat, parti itu tidak akan dapat menubuhkan kerajaan bersama komponen Barisan Nasional lain jika tidak mendapat sokongan daripada segi undi rakyat berbilang kaum dalam pilihan raya.
UMNO perlu dekati dan berikan khidmat bakti menjaga kebajikan rakyat. Jika hari ini UMNO berbudi, satu hari nanti rakyat akan ingat dan rela menyokong kepimpinan parti itu.
Paling penting UMNO perlu terus mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan Bumiputera. Jika sokongan itu terus terhakis, maka UMNO tidak akan dihormati baik kawan apatah lagi lawan.
Oleh itu UMNO mesti terus memainkan peranan mewakili suara hati nurani rakyat terbanyak.
Ahli UMNO perlu insaf akan hakikat ini. Ahli UMNO perlu membuang jauh-jauh persepsi parti itu sebagai lubuk untuk cari makan.
Jika ahli UMNO benar-benar mahu memastikan kelangsungan perjuangan parti keramat ini sebagai tulang belakang kerajaan, maka berazamlah untuk melakukan transformasi dalam semua aspek seperti yang dikatakan sebelum ini.
Bersedialah mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera.
Tindakan perubahan dan pembaharuan itu bukan sekadar dengan kata-kata sahaja tetapi ditunjukkan dalam bentuk amalan, aktiviti dan program antara parti dengan rakyat.
Dalam konteks ini, ahli UMNO perlu menyahut seruan Presiden parti supaya menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawan dalam parti.
Mereka perlu bergerak mendekati rakyat bersama-sama dengan golongan profesional dan badan-badan bukan kerajaan.
Para pemimpin UMNO mesti lupakan status jawatan ketika turun padang untuk berbakti. Mereka kena tampil ke hadapan menjelaskan isu-isu berkepentingan rakyat tanpa disuruh-suruh. UMNO wajar meneruskan tradisi parti yang menjuarai isu-isu rakyat.
Sesungguhnya jika UMNO berjaya menyelami denyut nadi rakyat, maka mereka akan sentiasa mengingati dan ada balasannya kemudian hari.
UMNO tidak sepatutnya menunggu masa menjelang tiba pilihan raya baharu hendak menunjukkan keprihatinan kepada rakyat. Mulakan segera keazaman untuk berubah sikap dalam erti kata perjuangan yang sebenar.
Sahutlah amanat Presiden UMNO dengan menjadikan perhimpunan kali ini menjadi titik 'monumental' kepada UMNO meninta perjalanan di atas lembaran baru dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju baru.
- Utusan

Barisan UMNO mesra Najib

Thursday, March 26, 2009 · 0 comments

BARISAN kepimpinan baru. Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin serta Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Apdal semasa pengumuman keputusan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka malam tadi.
*****
KUALA LUMPUR - "Saya akan setia dengan Najib.'' Itu adalah antara komen awal Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kemenangannya sebagai Timbalan Presiden UMNO di sini malam tadi.
Kata-kata itu mengesahkan bahawa Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mempunyai kombinasi terbaik pilihan perwakilan.
"Saya akan bantu beliau (Najib) dan tidak menghampakan harapan ahli parti dan rakyat dan dari segi parti, kita akan memperkukuhkan parti dan hubungan," ujarnya.
Muhyiddin mendapat undi sebanyak 1,575 mengalahkan pencabarnya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang memperoleh 916 undi. Seramai 2,509 perwakilan terlibat dalam pemilihan itu.
Sementara itu, Muhammad yang gagal dalam cubaan menjadi Timbalan Presiden ketika ditemui berkata: "Saya mengucapkan syabas kepada mereka yang berjaya dan selepas ini UMNO mesti bertaut dan bercantum menjadi parti yang kuat."
Dengan adanya 'aku janji' Muhyiddin, kesetiaan Muhammad dan kemenangan tiga naib presiden pada pemilihan kali ini yang dilihat sebagai barisan yang rapat dengan Najib, ia memberi laluan mudah kepada bakal Perdana Menteri itu untuk mengemudi bahtera parti dan negara pada masa depan.
Ini kerana ketiga-tiga Naib Presiden UMNO yang baru - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Mohd. Shafie Apdal - ada kaitan dengan Najib sepanjang kariernya.
Ahmad Zahid merupakan bekas setiausaha politiknya, Hishammuddin pula sepupunya manakala Shafie pula timbalannya semasa Najib menerajui Kementerian Pertahanan.
Gandingan tersebut, selain ikrar taat setia Muhyiddin, melengkapkan pasukan Najib.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin juga dilihat tidak ada masalah berganding dengan Najib.
Begitu juga jika dilihat pada barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) terutama muka baru seperti Datuk Ismail Sabri Yaakob, Datuk Saifuddin Abdullah selain penyandang MT lain seperti Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Datuk Noh Omar, Datuk Idris Haron dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Transfer of power at UMNO

· 0 comments

[Reuters 26/03/09]
By Razak Ahmad and David Chance
Najib Razak needed a strong mandate from the United Malays National Organisation , the lynchpin of the National Front coalition that has ruled Malaysia for 51 years, to tackle the worst recession since the Asian financial crisis a decade ago.
Najib will be appointed prime minister in April and needs to reconstruct a coalition that stumbled to its worst losses in national and state elections a year ago.
Najib's main ally who will become party deputy president and deputy prime minister, reformist International Trade Minister Muhyiddin Yassin, won his battle easily at UMNO's annual congress despite earlier concerns he would be defeated.
Questions remain as to whether Najib can do any better than incumbent Abdullah Ahmad Badawi, who rode a wave of popular enthusiasm after the end of Mahathir Mohamad's 22-year rule and won 90 percent of parliamentary seats in 2004 elections.
By 2008, Abdullah, who had also pledged reforms and to end corruption, was dead in the water and the National Front coalition lost a third of parliamentary seats to the opposition.
Abdullah warned the party not to turn on Najib or "assassinate his character" as it did to him.
He also took a swipe at the old guard and Mahathir, whose sniping helped hasten his exit and who skipped the congress after his son lost out in the battle to be party youth chief.
"They believe that UMNO will regain its glory if we revert to the old ways -- the old order, by restricting the freedom of our citizens and by silencing their criticism," Abdullah said, as he readied to hand over power.
The 2,500 delegates responded by voting in a raft of newcomers seen as Najib's allies and his top picks to the three party vice presidential posts.
Even though the results were greeted by cheering delegates clad in traditional Malay dress, there was resistance to change from the rank and file who have been told by their leaders to end their corrupt ways and the patronage on which UMNO thrives.
Musa Sheikh Fadzir, a delegate representing the opposition-ruled northern state of Penang, called for the abolition of the party's Disciplinary Board, the internal body that has censured a number of contestants in the party polls.
"The prosecution is selective, it creates suspicions among us and we are subjected to humiliation," he said to loud applause.
"And what is all this talk about 'political money' (vote buying) in UMNO? We are a political party and if we did not have any money, how will we even manage to arrive in Kuala Lumpur?"
ELECTION TESTS LOOM
Days after Najib becomes prime minister, the National Front will have to face off against the opposition, led by former deputy prime minister Anwar Ibrahim, in a parliamentary by-election and in two state by-elections on April 7.
Political tensions have reached boiling point in this nation of 27 million people where politics split along ethnic lines.
The government has charged an opposition legislator with sedition, banned opposition newspapers and used riot police to break up its rallies.
Anwar was a member of UMNO and tipped for the top job before he was sacked by Mahathir on what he insists were trumped up charges of corruption and sodomy in the late 1990s.
Najib also faces questions over his suitability to rule as he has been mauled on opposition internet sites who have linked him to the lurid murder of a Mongolian model, although there is no evidence and Najib has repeatedly denied involvement.
While the political drama plays out, investors are also watching to see if Malaysia can reform its economy under Najib.
The incoming premier has pledged to boost high-value services to reduce Malaysia's dependence on exports of electronics, which account for nearly 40 percent of the total, and on commodities in what is Asia's third most trade-dependent economy.
"Fundamentally there does need to be a reform in the way politics is done in Malaysia before the market and investors in general take these sorts of things seriously," said IDEAglobal economist Philip McNicholas.

Ikrar Muhyiddin

· 0 comments

[Bernama, 26/03/09]

KUALA LUMPUR 26 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk setia di bawah kepimpinan Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi bersama-sama mencurahkan segala usaha untuk mengukuhkan semula parti itu.
Beliau yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO, sedar sebagai orang nombor dua dalam parti terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul.
Apa yang penting ketika ini, tegasnya ialah memastikan Najib tidak dibiarkan keseorangan untuk menghadapi apa jua rintangan serta cabaran yang berlaku di dalam parti dan negara.
''Saya akan sentiasa setia kepada kepimpinan dan berperanan sebagai orang nombor dua kepada Datuk Seri Najib dan bukan orang nombor satu.
''Keutamaan saya ketika ini ialah mengukuhkan semula parti dan membela nasib rakyat. Saya berjanji segala pengalaman, bakti, usaha dan keringat akan saya curahkan sepanjang saya memegang jawatan ini,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas pengumuman pemenang bagi pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Pada pemilihan hari ini, beliau berjaya memperoleh sebanyak 1,575 undi menewaskan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang meraih 919 undi.
Muhyiddin meminta semua rakan di dalam parti sama ada menang atau kalah membantu beliau dan Presiden merealisasikan agenda parti dan negara.
''Saya menyeru kepada rakan yang menang atau kalah supaya merapatkan barisan kerana saya anggap soal perpaduan parti dan membangunkan rakyat adalah lebih utama.
''Kita adalah dalam satu keluarga dan ini merupakan pertandingan keluarga. Oleh itu kita tidak harus menjadikan proses pemilihan sebagai sebab kita berpecah. Saya amat berharap semua daripada kita bertaut semula,'' tambahnya.
Mengenai kombinasi barisan kepimpinan UMNO untuk tiga tahun akan datang, beliau menyifatkannya sebagai barisan harapan ahli UMNO dan rakyat Malaysia.
''Perwakilan telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dan saya melihat kematangan mereka memilih pemimpin-pemimpin parti dalam pemilihan kali ini.
''Kepada perwakilan yang memilih saya, rakan-rakan yang menyokong saya, saya ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan. Ini bagi saya adalah amanah Allah yang wajib saya tunaikan dengan sebaik-baiknya,'' katanya lagi.

Barisan Baru Umno Yakin Hadapi Cabaran Besar

· 0 comments

[Bernama, 27 Mac, 2009]
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Tiga Naib Presiden Umno yang baru yakin barisan kepimpinan yang dipilih mampu membawa perubahan besar untuk mengembalikan semula kegemilangan Umno selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum 2008.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin barisan baru itu akan dapat menangani cabaran besar parti itu pada masa depan.
Shafie berkata: "Cabaran besar pertama yang akan dihadapi ialah untuk memenangi tiga pilihan raya kecil pada 7 April depan iaitu Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak)".
Beliau berkata Umno perlu mengangkat agenda rakyat sebagai perjuangan utama jika parti itu mahu mengembalikan semula sokongan rakyat yang lebih padu."Umno harus berubah dari segi pendekatan, melihat apa keperluan rakyat di akar umbi, termasuk konsep penyatuan rakyat," katanya kepada pemberita.
Sementara itu Dr Ahmad Zahid menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden sebagai satu gandingan yang mantap.Katanya para perwakilan telah membuat keputusan yang bijak.Beliau juga gembira dengan barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang terpilih.
"Saya melihat 50 peratus anggota MT adalah muka baru, ketiga-tiga Naib Presiden juga adalah muka-muka baru.
"Ini adalah pasukan yang akan membantu Presiden untuk menunaikan tanggungjawab dan menterjemahkan agenda parti," katanya.
Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno berkata setiap pemimpin yang dipilih dalam barisan kepimpinan baru mempunyai peranan untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.
"Yang penting adalah membentuk satu pasukan yang mantap yang mampu memimpin negara, bukan sahaja untuk orang-orang Melayu tetapi seluruh rakyat jelata," katanya.

Muhyiddin Timbalan Presiden Umno Yang Baru

· 0 comments

[Bernama, 26 Mac, 2009]
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melambai ke arah sekumpulan jurufoto selepas beliau diumumkan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Muhyiddin yang memperolehi 1,575 undi menewaskan pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib. Foto: Bernama Team
*****

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru selepas menewaskan pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan parti itu hari ini.Beliau memperoleh 1,575 undi.
Pengerusi tetap Umno Tan Sri Onn Ismail mengumumkan keputusan pemilihan pada pukul 10.45 malam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Tiga calon pada awalnya dinamakan bertanding jawatan timbalan presiden Umno, bagaimanapun Datuk Seri Mohd Ali Rustam baru-baru ini dilarang daripada bertanding kerana didapati melakukan kesalahan mengikut perkara 10.1 Tata etika Ahli Umno oleh Lembaga Disiplin.
Muhyiddin, 62, anggota Parlimen Pagoh, dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sebelum ini memegang jawatan naib presiden Umno.
Beliau memenangi kerusi naib presiden buat pertama kali pada tahun 1993 dengan mendapat undi tertinggi sebanyak 1,113 undi, tetapi gagal mengekalkan jawatan itu pada pemilihan 1996.
Pada pemilihan Umno tahun 2000, Muhyiddin berjaya merebut kembali jawatan naib presiden dan mengekalkan kedudukan selama dua penggal sebelum menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden, yang dikosongkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanding jawatan presiden parti.
Bekas menteri besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995 itu, memulakan kerjaya politiknya di dalam Umno pada tahun 1970 selepas tamat pengajian Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu. Beliau ketika itu dilantik sebagai bendahari Umno Bahagian Muar-Pagoh.
Lima tahun kemudian beliau dilantik sebagai naib ketua bahagian, dan pada tahun yang sama dipilih sebagai Ketua Pemuda Pagoh.Kerjaya politiknya terus bersinar apabila dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk pilihan raya umum 1978 bagi kerusi parlimen Pagoh.Beliau menjadi wakil rakyat Pagoh sehingga pilihan raya umum 1986 untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang.Selepas dua penggal sebagai Adun, Muhyiddin kembali bertanding kerusi parlimen Pagoh pada pilihan raya umum 1995 dan mengekalkan kerusi itu hingga sekarang.
Muhyiddin yang pernah jatuh bangun di dalam Umno, pada tahun 1981 dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Luar Negeri sebelum dinaikkan ke jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sembilan bulan kemudian. Setahun selepas itu beliau dipindahkan ke Kementerian Perdagangan dan Industri dengan memegang jawatan yang sama.
Beliau kemudian kembali ke negeri asalnya untuk menjadi Menteri Besar sebelum ke kerajaan pusat pada tahun 1995 dan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Empat tahun kemudian beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang telah memainkan peranan penting dalam memperkenal harga siling untuk beberapa barang keperluan serta menentang pengeluaran dan penjualan CD dan VCD cetak rompak.
Pada Januari 2004, berikutan rombakan semula kabinet dengan pelantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baru, Muhyiddin diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian, dan dua bulan kemudian kementerian itu ditukar nama kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan selepas pilihan raya umum Mac 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Anak kelahiran Muar, Johor ini merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman bukan sahaja di dalam politik, malah pernah memegang jawatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir (Penolong Setiausaha) di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun 1970 sebaik lulus pengajiannya di universiti.Lima tahun kemudian beliau meninggalkan kerjayanya dalam kerajaan untuk menjadi pengurus besar dan pengarah Sergam Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Beliau kemudian dilantik oleh Menteri Besar Johor pada masa itu Tan Sri Othman Saat, untuk menubuhkan Sri Saujana Bhd, syarikat yang ditaja anggota Umno Bahagian Pagoh pada tahun 1977.

Pemerhati Luar Puji Peralihan Kuasa Umno Secara Aman

· 0 comments

[Bernama, Jumaat, Mac 27, 2009]
Oleh Mohd Azril AnnuarKUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Ramai kalangan pemerhati asing hari ini menyuarakan pendapat yang hampir sama ketika memuji proses peralihan kuasa dalam Umno yang berlangsung secara aman.
Duta Besar Indonesia Tan Sri Prof Dr Da'i Bachtiar berkata peralihan kuasa secara aman yang berlangsung secara sukarela itu amat unik, dan menurutnya ia adalah perkembangan yang cukup baik.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Perhimpunan Agung Umno 2008 di sini beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin tertinggi parti adalah contoh terbaik untuk diteladani anggota-anggota parti yang muda.
"Terutama jika dilihat bagaimana beliau (Abdullah) mendaki liku-liku politik hingga sampai kepuncak tanpa mengharapkan apa-apa balasan, sekadar berbekalkan hasrat murninya untuk berbakti," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Keselamatan Kazakhstan Nurbakh Rustemov pula berkata beliau juga gembira melihat peralihan kuasa pentadbiran negara berlangsung secara aman, sama sekali berbeza daripada negara-negara lain, sebagaimana yang sering didengar sebelum ini.
"Peralihan kuasa di Malaysia bukan membabitkan dari satu parti ke parti yang lain, sebaliknya ia dikekalkan dalam ruang lingkup parti itu sendiri, namun ia tetap berlangsung secara demokratik," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
"Amat menarik untuk melihat bagaimana anggota parti benar-benar menghayati slogan parti 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'; malah selepas bersara mereka kekal menjadi anggota parti yang setia," kata beliau yang juga merupakan anggota parlimen parti pemerintah Kazakhstan, Nur-Otan.
Rustemov seterusnya menyuarakan harapan agar hubungan dua hala, ekonomi dan perdagangan antara Kazakhstan dan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri nanti akan bertambah baik.

Dua Menteri, Empat MB Tewas Pada Pemilihan

· 0 comments

[Bernama, 26/03/09]

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Dua menteri dan empat Menteri Besar merupakan antara 24 calon Majlis Tertinggi (MT) yang kecundang dalam pemilihan parti Umno kali ini.
Menteri Pelancongan Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, yang sebelum ini merupakan anggota MT, terpaksa akur dengan kehendak perwakilan dan melepaskan kerusi masing-masing.
Menteri Besar yang gagal mempertahankan kedudukan sebagai Anggota Majlis Tertinggi pula terdiri daripada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.
Sementara itu Menteri Besar Perlis Dr Md Isa Sabu yang baru pertama kali dicalonkan untuk merebut kerusi MT tahun ini turut tewas.
Beberapa nama-nama besar lain yang turut tewas termasuk Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Mohd Johari Baharum, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Noraini Ahmad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasan Malek.
Turut gagal menempa tempat masing-masing sebagai anggota MT ialah bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Abdullah Md Zin, bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Sazmi Miah serta bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.
Selain itu Ketua Umno Bahagian Cheras Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dan Senator Tan Sri Mohamed Jins Samsudin juga tidak terpilih untuk menganggotai MT.

Keputusan Pemilihan Umno 2008

· 0 comments

[Bernama, 26/03/09]
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Berikut adalah keputusan pemilihan Umno 2008.
PENGERUSI TETAP:
DATUK PADUKA HAJI BADRUDDIN AMIRULDIN (2272 undi)
TIMBALAN PENGERUSI TETAP:
DATUK HAJI MOHAMAD HAJI AZIZ (tanpa bertanding)
PRESIDEN:
DATUK SERI NAJIB TUN ABDUL RAZAK (tanpa bertanding)
TIMBALAN PRESIDEN:
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN (1575 undi)
NAIB PRESIDEN:
1. DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI (1592 undi)
2. DATUK SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN (1515 undi)
3. DATUK SERI MOHD SHAFIE APDAL (1445 undi)
AHLI MAJLIS TERTINGGI
1. DATUK MUSTAPA MOHAMED (2259 undi)
2. DATUK NOH OMAR (2084 undi)
3. DATUK SERI PANGLIMA MUSA AMAN (2084 undi)
4. DATUK AZIAN OSMAN (2060 undi)
5. DATUK ZAINAL ABIDIN OSMAN (2054 undi)
6. DATUK SERI MOHD ZIN MOHAMED (1854 undi)
7. DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB (1838 undi)
8. DATUK SERI PANGLIMA LAJIM UKIN (1804 undi)
9. DATUK SHAZIMAN ABU MANSOR (1705 undi)
10. DR MOHD PUAD ZARKASHI (1700 undi)
11. DATUK TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (1685 undi)
12. DATUK HAJI IDRIS HJ HARON (1658 undi)
13. DATUK DR HAJI ABD LATIFF AHMAD (1624 undi)
14. DATUK SERI DR JAMALUDIN JARJIS (1622 undi)
15. DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH (1619 undi)
16. DATUK DR NORRAESAH MOHAMAD (1611 undi)
17. DATUK SERI MAHDZIR KHALID (1584 undi)
18. DATUK AHMAD HUSNI MOHD HANADZLAH (1529 undi)
19. DATUK HAMZAH ZAINUDIN (1518 undi)
20. DATUK BUNG MOKTAR RADIN (1517 undi)
21. DATUK DR AWANG ADEK HUSSIN (1481 undi)
22. DATUK SERI ZULHASNAN RAFIQUE (1431 undi)
23. DATUK AHMAD SHABERY CHEEK (1377 undi)
24. DATUK SERI IDRIS JUSOH (1275 undi)
25. DATUK ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM (1265 undi)

Penting UMNO kembali 'dirakyatkan'

· 0 comments

[Utusan, 26/03/2009]
Oleh AZMAN ANUAR rencana@utusan.com.my
SEJAUH mana UMNO mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu? Bagaimana formula pembaharuan yang diucapkan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri kelmarin dapat diterjemahkan pada pilihan raya akan datang khususnya Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak pada 7 April ini.
Kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, Allah telah menurunkan 'hero Melayu baru'. Ucapannya datang dari lubuk hati dan adalah suara UMNO yang sebenar serta mewakili aspirasi majoriti Melayu.
"UMNO perlu perubahan drastik dan holistik. Beliau tegas dalam hal ini. Beliau jelas dengan kaedah pembaharuan UMNO iaitu melalui perkaderan," kata Saifudin.
Bagi Datuk Hashim Suboh pula, bakal Presiden UMNO itu bersikap amat realistik dalam melakarkan hala tuju dan transformasi perjuangan UMNO dengan mengakui kelemahan-kelemahan UMNO. Beliau juga dapat menghidu kelemahan UMNO di semua peringkat yang kerap kali menjadi asas kepada penilaian rakyat terhadap parti selama ini.
Sudah tentu UMNO tidak boleh saban masa menagih sokongan rakyat semata-mata dengan membangkitkan jasa-jasa parti di dalam proses pembinaan negara bangsa Malaysia. UMNO sebaliknya perlu sentiasa ke depan dalam menampilkan agenda-agenda baru supaya ia sentiasa segar, relevan dan seiring dengan tuntutan zaman.
Menurut Hashim, masalah besar UMNO adalah kerana parti ini terlalu lama menjadi parti pemerintah dan parti kerajaan. Tempoh masa ini telah memerangkap pemimpin dan ahli UMNO dalam zon selesa sebagai 'kerajaan'. Akhirnya kedudukan UMNO dikelirukan dengan tanggapan UMNO itu kerajaan dan sebaliknya.
"Akibatnya parti tidak kelihatan berfungsi sepanjang masa kerana wujud tanggapan bahawa apa jua yang dibuat oleh kerajaan adalah juga merupakan aktiviti atau program parti," kata Ketua Penerangan UMNO Perlis itu.
Tidak hairanlah setiap kali pilihan raya, UMNO tidak turun sebagai sebuah parti tetapi menyerahkan sebahagian besar tanggungjawab kepada jabatan seperti Kemas, Jabatan Penerangan dan sebagainya.
Kegagalan meletakkan garis pemisah di antara parti pemerintah dan kerajaan pula telah menyuburkan sindrom membisu yang cukup ketara dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.
"Barangkali kerana tidak mahu berbeza pandangan dengan kerajaan, UMNO tidak lagi bercakap tentang isu rakyat di peringkat akar umbi sekali gus membuka ruang yang luas kepada pembangkang untuk muncul dalam menjuarai isu-isu rakyat," jelasnya.
Dengan pendekatan demikian maka terpancarlah imej bahawa pemimpin pembangkang itu lebih berani, komited dan dekat dengan rakyat walaupun hakikatnya yang saban masa bekerja keras adalah pemimpin-pemimpin UMNO.
Desakan Najib supaya pemimpin UMNO lebih memberikan perhatian kepada perkhidmatan dan berdampingan dengan rakyat sememangnya bertepatan dengan hasrat rakyat di peringkat akar umbi.
Hashim yang juga Naib Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia mengajak para pemimpin di semua peringkat mengikis 'Sindrom Jentuai Padi' yang hanya muncul ketika musim pemilihan serta ketika pilihan raya umum hampir tiba.
"Justeru, amatlah penting untuk UMNO kembali 'dirakyatkan.' Agenda merakyatkan UMNO menjadi begitu penting kerana pemimpin-pemimpin parti dikatakan sombong, angkuh dan tidak mesra rakyat," kata beliau.
Pemimpin-pemimpin kanan UMNO yang tebal dengan imej 'orang besar' sering tidak pandai menyesuaikan diri dengan rakyat kerana biasanya mereka hanya hadir ke majlis rasmi yang sarat dengan formaliti dan mengganggu interaksi pemimpin dengan rakyat.
"Lihat sahajalah betapa di setiap pilihan raya kecil, Pak-Pak Menteri hanya turun untuk berucap dan merasmikan program sedangkan pada masa yang sama pemimpin pembangkang tanpa perlu menjanjikan apa-apa sentiasa berada bersama pengundi untuk mendengar masalah dan rintihan rakyat.
"UMNO sebagai parti pemerintah perlu kembali memberikan tumpuan kepada agenda untuk memperkasakan rakyat di peringkat akar umbi. Bajet dan projek-projek ekonomi yang wajib diutamakan oleh kerajaan yang diterajui oleh UMNO mestilah sentiasa mengutamakan projek yang berimpak dan berskala besar serta bersifat people centric.
"Alangkah besarnya harapan rakyat untuk melihat gagasan-gagasan besar yang melahirkan Felda, Felcra, Tabung Haji, PNB, ASN dan sebagainya dapat diketengahkan di sebalik keghairahan untuk mengetengahkan projekprojek bertaraf dunia yang jauh daripada mendekati keperluan sebenar rakyat," kata Hashim.
Beliau berpendapat, rakyat akan lebih menghargai UMNO sekiranya peruntukan berbilion ringgit untuk Value Cap diberikan sebagai dana untuk menampung kerugian petani dan pekebun kecil yang terjejas akibat penurunan harga getah dan kelapa sawit.
Bagi menjayakan agenda transformasi perjuangan ini, sudah tentu UMNO perlu memiliki barisan kepimpinan yang bukan sahaja berwawasan besar tetapi lebih penting, mereka yang sentiasa bersama dengan rakyat.
"Tiada guna kita memiliki pemimpin yang hanya berwawasan besar tetapi amat tipis perkhidmatan dan pendampingannya dengan rakyat," jelas Hashim lagi.
Pemimpin-pemimpin Pemuda UMNO perlu lebih agresif dan kembali ke alam "Pemuda tahan lasak dan kumpulan pendesak" kerana inilah yang sebenarnya menjadi imaginasi anak-anak muda apabila mereka terlibat dengan politik.
"Pemimpin generasi baru UMNO juga tidak boleh terus tenggelam dengan imej korporat dan keghairahan yang melampau untuk memburu gelaran 'Datuk' yang sebenarnya hanya mewujudkan jurang antara mereka dengan anak-anak muda yang mahu dipujuk untuk menyertai UMNO itu," kata beliau.
Menurut Hashim, gaya dan pendekatan elitis tidak lagi boleh menjadikan UMNO hebat kerana akhirnya yang akan menentukan kejayaan parti adalah pengundi muda dan rakyat yang sudah jengkil dan muak melihat pemimpin-pemimpin muda UMNO yang ranggi itu.

Hisham, keris dan Pemuda

· 0 comments

[Utusan, 26/03/2009]
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

HISHAMMUDDIN Tun Hussein dan barisan pemimpin Pemuda UMNO melaungkan kata-kata semangat sebelum persidangan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
..........

TEPAT pukul 10.42 pagi semalam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima Keris Pancawarisan daripada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai amanah membawa perjuangan Pemuda ke peringkat lebih tinggi.
Setelah 11 tahun menerajui Pemuda, Hishammuddin yang kelihatan menitis air mata akan meninggalkan pergerakan itu bagi meneruskan langkah lebih jauh dalam arena politik negara. Beliau yang akan bertanding jawatan Naib Presiden hari ini, sudah pasti akan mengingati segala jasa Pemuda yang mendidiknya menjadi pemimpin yang berjaya.
Hishammuddin tidaklah mengambil jawatan Ketua Pemuda dalam dulang emas pada tahun 1999, sebaliknya beliau ibarat menerima jawatan berkenaan dalam penuh kegetiran. Ketika itu UMNO berhadapan dengan krisis politik yang amat berat, ia tercetus berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Hishammuddin dipilih memangku jawatan berkenaan apabila penyandang jawatan itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan tersebut.
Sejak itu bermula era kepimpinan Hishammuddin yang penuh dengan kegetiran, namun sebagai seorang yang mewarisi bakat politik bapanya yang merupakan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, Hishammuddin tabah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sehinggalah beliau berjaya meletakkan Pemuda sebagai satu barisan yang diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Bagaimanapun sudah pasti Hishammuddin meninggalkan Pemuda dengan satu kenangan yang akan terpahat dalam sejarah politik negara apabila menjadi satu-satu pemimpin Melayu yang mendaulatkan kembali keris sebagai lambang keperkasaan Melayu.
Kemunculan pertama kali keris Pancawarisan ke pentas persidangan Pemuda UMNO pada tahun 2005 telah mencetuskan kontroversi. Walaupun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, beliau menjelaskan mengenai kedudukan keris berkenaan namun apabila dalam pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan teruk, isu keris turut dibangkitkan.
Dalam hujah sesetengah pihak mereka menganggap keris berkenaan telah menyebabkan kaum lain tidak mahu mengundi BN. Berikutan itu Hishammuddin telah meminta maaf seandainya perbuatan menghunus keris mengguris perasaan kaum lain tetapi beliau sama sekali tidak pernah meminta maaf kerana memartabatkan keris sebagai lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.
Tindakan Hishammuddin memohon maaf telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dan menganggap ia sebagai pengkhianatan kepada orang Melayu. Lanjutan itu, dalam kempen merebut jawatan Naib Presiden, bertebaranlah SMS dan surat layang yang memburuk-burukkan beliau.
Berikutan itu, Hishammuddin secara tegas dalam ucapannya semalam berkata, beliau sama sekali tidak akan mengkhianati orang Melayu dan menyerahkan kepada Tuhan terhadap perbuatan fitnah yang ditujukan kepadanya.
Dalam persidangan semalam juga, Hishammuddin sekali lagi mengucup keris Pancawarisan. Apa yang berlainan kali ini ia tidak dihunuskan bagi mengelakkan mana-mana pihak memanipulasikan perbuatan berkenaan. Seperti mana beliau jelaskan dalam Perhimpunan Agung 2007, perbuatan mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.
Kini Hishammuddin meninggalkan Pemuda dan beliau telah diamanahkan membawa bersama Keris Pancawarisan sebagai amanah meneruskan perjuangan pergerakan itu ke peringkat lebih tinggi. Hishammuddin akan mengikut jejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang suatu ketika dulu daripada Ketua Pemuda bertanding Naib Presiden.
‘‘Kejayaan Hishammuddin di peringkat Naib Presiden amat penting bagi memberikan isyarat bahawa Pemuda adalah kilang yang mengeluarkan pemimpin pelapis UMNO,” kata seorang pemimpin Pemuda ketika ditemui.
Hishammuddin dilihat salah seorang pemimpin yang berjaya dilahirkan Pemuda sejak 18 tahun lalu. Beliau bermula sebagai perwakilan mewakili Bahagian Ledang dan Tenggara, dipilih menganggotai barisan exco sebelum menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk mengemudi pergerakan itu selama 11 tahun.
Bagaimanapun Hishammuddin pernah memberitahu penulis bahawa beliau tidak akan ‘meninggalkan’ Pemuda, sebaliknya semangat Pemuda akan terus bersemadi dalam sanubarinya sepanjang perjuangan dalam arena politik negara.
Berikutan peninggalan Hishammuddin, Pemuda akan diterajui oleh ketua baru iaitu Khairy Jamaluddin dan sudah pasti tugas ketua baru bukanlah mudah, apatah lagi beliau mewarisi kepimpinan Pemuda ketika tuntutan begitu mendesak bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.
Kewujudan hampir dua juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi baru sudah pasti menjadikan tugas sebagai Ketua Pemuda semakin berat.
Atas sebab itulah dalam ucapan dasarnya, Hishammuddin mengingatkan kepimpinan baru Pemuda perlu terus berusaha menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti.
Bagi melaksanakan tugas berkenaan, ketua yang baru tidak harus melihat mereka yang tewas dalam pertandingan yang berlangsung sebagai musuh. Ini kerana calon yang tewas turut juga mempunyai kemampuan, kewibawaan dan kredibiliti masing-masing.
Berdasarkan hakikat itu, Ketua yang baru perlu berusaha merapatkan barisan dengan menghulurkan salam persahabatan kepada bekas pesaing-pesaingnya untuk mereka sama-sama menyumbang kepada kemantapan perjuangan Pemuda.
Perasaan benci, sakit hati dan dengki harus disingkirkan kerana perjuangan utama Pemuda bukanlah merebut undi dalam parti tetapi merebut undi rakyat.
Jika Pemuda berpecah sudah pasti segala amanah yang ditinggalkan oleh Hishammuddin tidak dapat dilaksanakan dan ini akan menyebabkan pergerakan itu terus menjadi lemah, sedangkan tanpa keutuhan Pemuda tidak akan mungkin UMNO mampu menarik sokongan generasi muda.
Justeru segala pesanan Hishammuddin yang boleh disifatkan meninggalkan Pemuda dalam keadaan berpadu dan mantap harus dipelihara oleh kepimpinan yang baru.

Abdullah tak akan derhaka kepada Umno

· 0 comments

[Bernama, 26/03/09]
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata beliau tidak akan menderhaka dan bersifat gunting dalam lipatan kepada Umno kerana sejak kecil lagi beliau ditanam dengan semangat perjuangan parti itu.
Presiden Umno itu berkata, walaupun pernah mengalami pengalaman pahit sebagai anggota Umno dan pernah dihina oleh segelintir anggota parti, beliau tidak pernah menghina dan mencerca Umno, jauh sekali meninggalkannya.
Abdullah, 69, yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003, berkata ujian kesetiaan adalah ketika menghadapi dugaan serta melalui era yang payah dan laluan yang susah, serta ketika tidak berjawatan dan tiada kedudukan.
"Semangat kental yang tertanam di jiwa saya menghindarkan saya daripada bersifat derhaka kepada Umno," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Masa Depan dan Survival Parti", pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini.
Abdullah berkata Umno dikenalinya sejak berusia tujuh tahun kerana keluarga beliau aktif dalam gerakan menubuhkan parti itu.
Nendanya, Allahyarham Abdullah Fahim dan bapanya, Allahyarham Ahmad Badawi adalah tokoh agama dan anggota Umno yang disegani dan melalui mereka beliau berpeluang menghayati sepenuhnya perjuangan parti itu.
"Saya mewarisi darah daging, barisan pelopor Umno. Saya berpeluang terdedah dengan perjuangan Umno sejak dari usia begitu muda, lalu jiwa saya ini diselimutkan dengan ketebalan semangat perjuangan Umno.
"Saya pilih (Umno) sebagai organisasi politik untuk saya sertai dengan sumpah setia kekal taat kepada perjuangannya kerana saya kekal dan cekal yakin bahawa Umno adalah wadah perjuangan yang diasaskan dengan niat suci dan matlamat murni," katanya.
Perdana Menteri yang mengibaratkan Umno itu "berpohonkan perjuangan yang murni, berakarkan perjuangan yang suci," berkata walau apapun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap Umno pada hari ini, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sejak Umno ditubuhkan pada 1946, parti itu menabur jasa yang bukan sedikit terhadap negara dan warga Malaysia.
Abdullah yang menyaksikan perjuangan nenda, ayahandanya serta kaum keluarganya dalam parti serta penglibatan dan pengorbanan barisan seangkatan dengan mereka, sedar bahawa kekuatan Umno didukung dan dijulang oleh para wira yang tidak bernama dan tidak berjawatan ini, yang tulus dan ikhlas dalam perjuangan mereka.
"Mereka tidak pernah meminta, malah sebaliknya sentiasa memberi, mereka yang tidak melihat Umno sebagai saluran untuk memenuhi kepentingan diri dan keuntungan peribadi," katanya.
Beliau berkata mereka mendukung dan menyokong perjuangan murni Umno dan yakin akan ketelusan, keikhlasan, kesungguhan dan ketegasan Umno membela nasib bangsa, memperjuang kemerdekaan tanah air, mengimarahkan Islam, mempertahan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memastikan martabat bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu dijulang.
"Merekalah yang terus menyalakan obor perjuangan Umno, obor perjuangan bangsa," katanya.

Safkan Pemimpin Ampuh II

· 0 comments

[Mar 26th, 2009 By admin Category: Berita Eksklusif]
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Keputusan pemilihan pergerakan tiga sayap UMNO telah pun diketahui yang mana menyaksikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjadi teraju Wanita UMNO, Khairy Jamaludin memenangi jawatan Ketua Pemuda manakala Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menjadi Ketua Puteri bagi sesi pemilihan 2008 hingga 2011.
Hari ini pula, pemilihan bagi mengisi anggota Majlis Tertinggi berlangsung dan keputusan yang akan diumumkan pada sebelah malam tentunya akan menjawab segala persoalan berkaitan siapa barisan kepimpinan untuk penggal seterusnya dalam MT UMNO.
Sesungguhnya persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2008 ini akan melakarkan detik baru dalam sejarah pentadbiran dan kepimpinan bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada masyarakat umum.
Persidangan kali ini sememangnya menjadi tumpuan apatah lagi di dalamnya terkandung perancangan untuk pelan peralihan kuasa antara Presiden dan timbalannya di samping pemilihan peringkat pusat.
Lantas, calon-calon yang menang dan mengisi kerusi MT ini akan menjadi pencetus kepada gerakan baru parti untuk kesinambungan dalam pentadbiran akan datang.
Dalam hal ini, apapun keputusan dalam pertandingan tentunya ramai pihak mahukan perjuangan UMNO terus kukuh, ibaratnya biarpun berkocak janganlah sampai tertumpah.
Perpaduan dan keteguhan parti bergantung kepada terajunya untuk menentukan hala tuju ahli-ahli UMNO dengan membina semangat perpaduan dan persaudaraan di samping menghayati landasan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu.
Dalam masa yang sama, cabaran-cabaran dalaman yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk menjatuhkan parti dan cuba menumbangkan Kerajaan sememangnya perlu ditangani dengan cermat.
Justeru, kematangan percaturan politik dalam kepimpinan MT akan datang menjadi penentu dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas iaitu untuk menyatukan masyarakat menerusi dasar-dasar yang adil dan saksama.
Apa yang perlu difahami, UMNO bukan sahaja berpolitik, UMNO juga telah menerajui reformasi budaya dalam mempertahankan diri dan bangsa Malaysia sendiri dari ledakan maklumat dan kemewahan di samping krisis lain.
Sesiapa pun pasti tidak akan dapat menafikan bahawa sejak dari awal penubuhan hingga membawa kepada kemerdekaan negara hanya UMNO sahaja yang mampu memperkasakan bangsa termasuk menggembleng parti-parti bukan Melayu bekerjasama di bawah Perikatan dan kemudian BN malah sehingga ke hari ini juga.
Lantaran itu, UMNO tidak boleh lemah atau kelihatan lemah kerana ia akan menggambarkan lambang Melayu, yang secara tidak langsung mewakili kesatuan sebuah bangsa.
Berkaitan dengan persepsi masyarakat khususnya generasi muda yang melihat bahawa UMNO sebuah parti yang dipenuhi elemen kronisme dan nepotisme, serta subur dengan amalan ‘politik wang’, sememangnya ia perlu dibanteras dan disekat.
Lantas, jika ada kecacatan atau kelemahan yang timbul berkaitan permasalahan parti, merosakkannya bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya ia perlu ditangani dengan baik ibarat menarik rambut dari tepung, agar segala kepincangan dapat ditangani.
Begitu juga dengan pemilihan ini, tentunya dalam pertandingan akan ada yang menang dan tewas, lantas kekecewaan pasti akan terasa. Namun begitu, janganlah pula dijadikan parti sebagai tempat untuk menghamburkan kekecewaan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan lain.
Lantaran itu, kebijaksanaan dalam UMNO dan kebolehan pemimpin-pemimpinnya melaksanakan tanggungjawab yang digalas mampu untuk menyatukan ahli-ahlinya melalui perpaduan dengan prinsip yang adil dan saksama.
Sesungguhnya, prinsip perjuangan UMNO yang kekal hingga ke hari ini menjadi tulang belakang dalam pentadbiran Kerajaan. Sehingga kini, percaturan UMNO sebagai satu pertubuhan yang membela nasib bangsa, agama dan negara tetap diteruskan dari semua peringkat.
Kepada para perwakilan, Selamat Mengundi!

61 Delegasi Serta Persidangan Perhimpunan Agung

· 0 comments

[Mar 26th, 2009 By admin Category: Berita Pilihan]
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Persidangan Perhimpunan Agung UMNO ke-59 menyaksikan kehadiran sebanyak 20 parti dari 20 buah negara di peringkat antarabangsa melibatkan 61 orang delegasi.
Dalam kelangsungan parti menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan, UMNO sentiasa mengekalkan kesinambungan dalam melestarikan hubungan antara UMNO dengan parti-parti luar Negara.
Sememangnya ikatan antara parti amat membanggakan dan UMNO sentiasa menerima kunjungan rasmi dari delegasi parti-parti politik asing sama ada dari rantau Asia, Timur Tengah dan Eropah setiap tahun.
Berikut adalah senarai negara dan parti yang turut serta dalam persidangan :
  1. THE ISLAMIC REPUBLIC OF AFGHANISTAN – THE ISLAMIC REPUBLIC OF AFGHANISTAN
  2. PEOPLE’S REPUBLIC OF BANGLADESH – BANGLADESH AWAMI LEAGUE
  3. BOSNIA & HERZEGOVINA – PARTY OF BOSNIA & HERZEGOVINA
  4. KINGDOM OF CAMBODIA – CAMBODIAN PEOPLE’S PARTY (CPP)
  5. PEOPLE’S REPUBLIC OF CHINA – COMMUNIST PARTY OF CHINA (CPC)
  6. REPUBLIC OF CUBA – COMMUNIST PARTY OF CUBA
  7. THE REPUBLIC OF KAZAKHSTAN – NUR-OTAN PARTY
  8. DEMOCRATIC PEOPLE’S REPUBLIC OF KOREA (DPRK) – WORKERS PARTY OF KOREA
  9. KYRGYZ REPUBLIC – AK-JOL PARTY
  10. LAO PEOPLE’S DEMOCRATIC REPUBLIC – LAO PEOPLE’S REVOLUTIONARY PARTY(LPRP)
  11. LIBYAN ARAB JAMAHIRIYA – GENERAL PEOPLE’S CONGRESS(GPC)
  12. KINGDOM OF MOROCCO – PARTY AL-ISTIQLAL
  13. THE PHILIPPINES – LAKAS CHRISTIAN MUSLIM DEMOCRATS (LAKAS-CMD)
  14. DEMOCRATIC SOCIALIST REPUBLIC OF SRI LANKA – SRI LANKA FREEDOM PARTY
  15. REPUBLIC OF SUDAN – SUDAN NATIONAL CONGRESS
  16. SYRIAN ARAB REPUBLIC – ARAB BA’ATH SOCIALIST PARTY
  17. UNITED ARAB EMIRATES – UNITED ARAB EMIRATES
  18. SOCIALIST REPUBLIC OF VIETNAM – VIETNAM COMMUNIST PARTY(VCP)
  19. REPUBLIC OF YEMEN – GENERAL PEOPLE’S CONGRESS(GPC)
  20. THE STATE OF PALESTINE – PALESTINE LIBERATION ORGANIZATION (PLO)

‘Masa Depan Dan Survival Parti’

· 0 comments

[Mar 26th, 2009 By Zailan Category: Berita Utama]
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Ucapan Dasar YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Presiden UMNO di Perhimpunan Agung UMNO ke-59 diPusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 26hb. Mac 2009 (Khamis); jam: 9.30 pagi.
Bismillahir Rahmanir Rahim
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap

Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap

Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden

Naib Presiden-Naib Presiden

Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO

Ahli-Ahli Majlis Tertinggi

Tuan-Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar

Ketua-Ketua Komponen Parti BARISAN NASIONAL

Wakil Parti-Parti dari luar negara

Dif-dif Kehormat, Para Tetamu dan Para Jemputan

Para Perwakilan dan Pemerhati
Alhamdulillah, diangkatkan pujian setinggi-tingginya ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan rahmat dari Nya juga, Perhimpunan Agung UMNO kali ke lima puluh sembilan dapat berlangsung. UMNO pada tahun ini lnsya Allah akan mencapai usia 63 tahun pada bulan Mei 2009; jika Allah juga terus meminjamkan usia kepada Abdullah Ahmad Badawi, lnsya Allah saya juga akan mencapai usia 70 tahun pada 26 November nanti.
2. Ketika UMNO ditubuhkan saya adalah seorang anak di sekolah rendah. Keluarga saya, terutama nenda saya, Haji Abdullah Fahim (Allahyarham), ayahanda saya Haji Ahmad Badawi (Allahyarham) dan bonda saya Hajah Khailan binti Hassan (Allahyarhamah) dan ramai lagi ahli keluarga saya terlibat aktif dalam gerakan menubuhkan UMNO. Saya berpeluang menyaksikan pelbagai pertemuan dan pelbagai rundingan diadakan, meskipun ketika itu, biji butir perkara yang dibincangkan kurang saya fahami. Begitu banyak sekali pertemuan dan perjumpaan diadakan di rumah nenda saya dan juga di Madrasah Daeratul Maarif al-Wataniah, Kepala Batas.
3. Saya mewarisi darah daging, barisan pelopor UMNO. Saya berpeluang terdedah dengan perjuangan UMNO sejak dari usia begitu muda, lalu jiwa saya ini diselimutkan dengan ketebalan semangat perjuangan UMNO. Selanjutnya saya memilih menyertai UMNO kerana yakin dengan gagasan suci dan matlamat murni perjuangannya. Semangat kental yang tertanam di jiwa saya, menghindarkan saya dari bersifat derhaka kepada UMNO, menjauhkan saya dari bersifat gunting dalam lipatan kepada UMNO. UMNO tidak pernah saya hina; UMNO tidak pernah saya cerca; jauh sekali dari meninggalkannya meskipun saya tidak sepi melalui pengalaman pahit pernah dihina oleh segelintir ahli-ahli UMNO. Bahawa ujian kesetiaan adalah ketika kita menghadapi dugaan, ketika kita melalui era yang payah dan laluan yang susah, ketika kita tidak bejawatan, ketika kita tiada kedudukan.
4. Saya menyaksikan perjuangan nenda saya, perjuangan ayahanda saya, penglibatan dan pengorbanan bonda saya, serta perjuangan, penglibatan dan pengorbanan barisan seangkatan dengan mereka. Saya menyaksikan ribuan pejuang yang membina ribuan saf perjuangan di dalam UMNO. Sepanjang penyaksian tersebut, saya dapati kekuatan UMNO itu didukung dan dijulang oleh wira-wira yang tidak bernama dan tidak berjawatan, mereka yang tulus - mereka yang ikhlas dalam perjuangan; mereka yang tidak pernah berpeluang sampai ke Dewan Merdeka ini, mereka yang tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Majlis Tertinggi parti, mereka yang tidak pernah meminta malah sebaliknya senantiasa memberi, mereka yang tidak melihat UMNO sebagai saluran untuk memenuhi kepentingan diri dan keuntungan peribadi. Merekalah yang mendukung dan menyokong perjuangan suci - perjuangan murni UMNO; mereka adalah wira-wira bangsa yang yakin akan ketulusan, keikhlasan, kesungguhan dan ketegasan UMNO membela nasib bangsa, memperjuangkan kemerdekaan tanah air, mengimarahkan lslam, mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memastikan martabat bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu. Merekalah yang terus menyalakan obor perjuangan UMNO - obor perjuangan bangsa.
5. UMNO telah saya kenali sejak berusia tujuh tahun sehingga saya menjadi seorang muda dan seorang dewasa. UMNO telah saya hayati dan saya pilih sebagai organisasi politik untuk saya sertai dengan sumpah setia kekal taat kepada perjuangannya; kerana saya kekal dan cekal yakin bahawa UMNO adalah wadah perjuangan yang diasaskan dengan niat suci dan matlamat murni. UMNO itu berpohon perjuangan yang murni, berakarkan perjuangan yang suci. Walau apa pun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap UMNO pada hari ini, tidak siapa dapat menafikan bahawa sejak ditubuhkan dalam tahun 1946, UMNO telah menabur jasa yang bukan sedikit terhadap negara dan warga Malaysia di pelbagai bidang merangkumi agama lslam dan ketamadunan bangsa, politik dan keamanan, sosial dan ekonomi.
6. Dalam 63 tahun usianya, UMNO telah berjaya - UMNO telah berjasa menyatupadukan bangsa, menyalakan semangat nasionalisme Melayu, mengimarahkan lslam, mengernbalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu, menjalin persefahaman dan kerjasama antara kaum, merundingkan dan akhirnya mencapai kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan mengembangkannya menjadi Persekutuan Malaysia, memelihara keamanan dan ketenteraman negara, menjayakan pembangunan sosial dan ekonomi negara, memakmurkan Malaysia, mewujudkan kelas menengah Melayu, membasmi kemiskinan, merintis pelbagai bentuk kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN dan memainkan peranan aktif dalam usaha mewujudkan persefahaman dan kesetiakawanan dalam kalangan negara-negara Islam di seluruh dunia.
7. Untuk sekian lama, jasa dan kejayaan UMNO itu, disedari dan diakui oleh warga di negara ini dan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Untuk itu, setiap kali diadakan pilihan raya, sebahagian besar warga tetap dan terus memberi kepercayaan kepada UMNO begitu juga kepada parti-parti rakan dalam BARISAN NASIONAL. Di peringkat antarabangsa, kisah-kisah kejayaan kita sering dirujuk, dijadikan contoh - dijadikan teladan. Dalam tempoh lima puluh tahun lalu, Malaysia telah berjaya berhijrah daripada antara negara termiskin di dunia kepada negara yang diiktiraf sebagai negara yang mencapai taraf pembangunan insan yang tinggi oleh UNDP. Tenaga kerja asing turut melihat Malaysia sebagai (dengan izin) ‘land of opportunity’ , tanah bertuah di mana peluang dan rezeki melimpah ruah.
8. Namun kita juga wajib menyedari, bahawa kisah-kisah ceria tentang kejayaan - cerita-cerita kegemilangan UMNO, sejak akhir-akhir ini mulai muram. Keputusan pilihan raya umum kedua belas adalah satu peringatan cukup besar. Hari ini, apa yang UMNO lakukan mula dilihat tidak lagi betul, apa yang UMNO perkatakan tidak lagi dianggap benar. Malah UMNO, juga BARISAN NASIONAL dijadikan tempat meletakkan kesalahan atau dipersalahkan, dilabel sebagai punca kepada apa juga kepincangan dan kekecohan, serta sebagai pencetus kepada perbuatan salah moral dan salah laku meskipun berlaku di kalangan anggota parti-parti politik yang menentang UMNO.
9. Begitu mudah hidup menjadi anggota di dalam pakatan pembangkang; bagaikan mempunyai lesen besar, bebas melakukan apa juga perbuatan, bebas menggunakan lidah secara celupar, kerana setiap yang buruk dilonggokkan kesalahannya di atas bahu UMNO untuk memikul bebannya. Saya tidak mengatakan bahawa kesemua ahli UMNO adalah sejernih air di kolam syurga. Saya juga tidak riak untuk mendakwa bahawa setiap ahli UMNO adalah sebersih kain putih dan tidak mempunyai kelemahan. Namun ahli UMNO juga bukan kotak sampah untuk dilemparkan segala fitnah yang berpunca dari perbuatan tidak betul dan salah laku orang lain. Tidak munasabah bahawa ahli-ahli dan penyokong parti-parti politik yang menentang kita terdiri dari orang-orang yang bersih dari dosa, bebas dari kesilapan, tidak mungkin kesemua mereka berjiwa wali bersifat malaikat.
10. Namun UMNO kini menghadapi ujian kredibiliti yang cukup berat. Mengapakah kita dipersalahkan sampai ke tahap seburuk ini? Mengapakah kita dinilai bagaikan tidak langsung mempunyai kebaikan lagi? Kita menghadapi keadaan terhakis kepercayaan ini disebabkan antaranya oleh beberapa factor dalaman:]
Pertama: setelah selesa kerana lama berada di tampuk kuasa, sebahagian pemimpin UMNO tidak seakrab dahulu dengan rakyat jelata yang selama hari ini menjadi akar kekuatan UMNO.
Kedua: tumpuan yang kurang seimbang kepada masyarakat luar Bandar dalam keghairahan dan hasrat untuk mencapai status negara maju di peringkat global.
Ketiga: program-program politik UMNO yang kurang berkesan mendampingi generasi muda, selain dari apa yang dilaksanakan oleh pelbagai institusi kerajaan.
Keempat: perbalahan berpanjangan sesama sendiri terutama ketika berebut jawatan di dalam parti telah meruntuhkan semangat kekeluargaan di kalangan ahli.
Kelima: sifat mengutamakan kebendaan hingga menjadikan sebahagian ahli bersifat tamak - bersifat haloba, lalu memberikan persepsi negative bahawa UMNO adalah parti yang korup.
11. Faktor-faktor dalaman tersebut telah memberikan modal besar kepada musuh-musuh UMNO untuk memburukkan UMNO. Ditambah pula dengan sikap dan gelagat watak-watak Melayu tertentu yang mengangkat bola tanggung hingga memberi ruang seluas-luasnya untuk orang-orang Melayu dan bumiputera boleh dilibas atau dicerca sewenang-wenangnya. Akhirnya susulan dari gerakan tersusun menyerang dan mencalarkan UMNO secara berterusan, minda warga berjaya diracun, hingga sampai ke tahap warga pada hari ini, tanpa penilaian rasional dan objektif begitu mudah mempercayai dan menerima setiap fitnah yang dilemparkan kepada UMNO.
12. Sesungguhnya kita wajib mengambil iktibar dari loceng amaran yang berdering kuat, yang menuntut kita untuk bertanya ‘apa yang tersilap’ atau ‘kenapa dan bagaimana kita tersilap’. Jawapan spontan saya terhadap persoalan tersebut ialah ‘Kita telah gagal mengurus kejayaan kita sendiri’. Bahawa kita terlalu mabuk dilambung ombak kejayaan. Bahawa kita menjadi leka diulit gurindam kejayaan. Bahawa kita merasakan diri kita sudah menjadi terlalu kuat. Bahawa kita lebih mementingkan kedudukan kita di dalam UMNO dari memikirkan kedudukan UMNO di kalangan warga dan di dalam negara.
13. Keadaan ini memerlukan kita bermuhasabah, melihat ke dalam diri, meninjau kembali sumber kekuatan kita selama ini dan memeriksa kelemahan dan kesilapan kita semenjak akhir-akhir ini. Dalam hubungan ini eloklah kita mengimbas kembali sumber-sumber kekuatan UMNO sejak UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Secara ringkas sumber-sumber kekuatan UMNO itu boleh kita rumuskan seperti berikut:
Pertama: Kepekaan UMNO memahami dan menangani masalah dan aspirasi bangsa Melayu.
Kedua: Keupayaan dan kejayaan UMNO menjalin kerjasama antara kaum serta keterbukaan UMNO mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka di negara ini.
Ketiga: Keupayaan UMNO menyelaraskan unsur-unsur tuntutan yang bercanggah.
Keempat: Keupayaan UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan sosial dan politik.
Kelima: Keupayaan UMNO menyerap tenaga-tenaga sosial dan politik yang baru muncul.
Keenam: Keupayaan UMNO mencari keseimbangan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan moderniti, antara lokal dan global.
14. Bermula dari slogan ‘HIDUP MELAYU’, berpindah kepada ‘MERDEKA’, beralih kepada ‘PEMBANGUNAN’, berkisar kepada ‘PERPADUAN’ melonjak untuk ‘MENCAPAI STATUS NEGARA MAJU’ diperkukuhkan dengan ‘MIS1 NASIONAL’. Begitulah dinamiknya UMNO menyesuaikan perjuangan dengan tuntutan waktu, mengorientasikan haluan dengan peredaran masa.
15. Keistimewaan luar biasa kita yang menjadi tunjang kekuatan UMNO adalah kejayaan merintis dan mewujudkan formula kerjasama antara kaum yang benar-benar bermakna; bermula dengan kerjasama UMNO-MCA, diikuti dengan MIC untuk menubuhkan PERIKATAN yang kemudiannya dikembangkan menjadi BARISAN NASIONAL. Percubaan mewujudkan kerjasama antara kaum seperti yang diolah oleh UMNO turut cuba dilaksanakan melalui INDEPENDENCE OF MALAYA PARTY (IMP) tetapi gagal; kemudiannya usaha PARTI NEGARA, juga menghadapi kegagalan; diusahakan oleh MALAYSIAN CONVENTION PARTY, turut menemui kegagalan, demikian juga kegagalan usaha percantuman PARTI RAKYAT dan PARTI BURUH dengan nama FRONT SOSIALIS. Hari ini peniruan formula kerjasama hak cipta kejayaan UMNO atau salinan foto yang paling hampir adalah usaha yang sedang ditiru oleh PAKATAN PEMBANGKANG, yang masih dalam suasana berbulan madu, tetapi jiran-jiran memberi tahu, sudah pun terdengar bibit-bibit perselisihan.
16. Bolehlah disimpulkan bahawa rahsia kekuatan dan kejayaan UMNO selama ini adalah kepekaan terhadap perubahan zaman dan kepekaan melakukan adaptasi kepada tuntutan tenaga-tenaga sosial yang baru. Setiap satunya dihadapi dan ditangani oleh UMNO dengan sikap sederhana, melakukan perubahan tanpa melupakan kesinambungan. Ini telah mewujudkan satu keadaan perseimbangan dinamik yang sekali gus mewujudkan suasana stabil lagi aman, membolehkan negara dan warga berkembang maju. Rahsia kejayaan inilah yang telah dijadikan sasaran serangan bertubi-tubi oleh pihak lawan. Rahsia kejayaan ini yang perlu kita gilap dan kita perbaharui; juga kita perlu bina dimensi baru lalu kita manfaatkan dengan penuh bijaksana. Jika terlajak ke hilir berkayuh perahu, kembalilah kita mudik ke hulu; jika terbuntu di hujung jalan, kembalilah kita ke pangkal jalan.
17. Bahawa sebagai insan yang berpegang kepada kalimah tauhid, berpegang kepada Rukun Islam dan Rukun Iman, maka sewajarnyalah kita menghadapi setiap berita gembira, begitu juga ketika menghadapi setiap peristiwa hiba dengan penuh keredaan, dan mentafsirkannya sebagai satu ujian ILAHl untuk memberikan peringatan kepada umat Nya agar mengambil pengajaran dan mencari kebenaran. Bahawa terkandung di dalam kitab suci Al-Quran, begitu banyak ayat yang mengandungi peringatan ILAHl kepada manusia untuk dijadikan pedoman.Terjemahan Ayat Quran:
“Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan la juga yang menyempitkannya. Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman. ”
Ar-Ruum - 37.
18. UMNO itu lahir dari gabungan badan-badan sukarela bukan kerajaan; (dengan izin UMNO graduated from the NGOs). UMNO kuat, ketika UMNO mengekalkan hubungan akrab dengan masyarakat. Pemimpin UMNO dikenali sebagai pemimpin yang sentiasa berdamping dan mendekati masyarakat di peringkat akar umbi. UMNO telah berjaya menggabungkan dan merangkaikan hubungan antara umat di desa dengan di kota, antara petani dan nelayan, pekerja dan pegawai atasan, rakyat jelata dan kumpulan aristokrat, dalam satu persaudaraan, mendukung satu perjuangan dengan mengutamakan kepentingan rakyat. UMNO yang di satu masa dahulu dipimpin oleh ramai guru-guru Melayu diakui benar-benar mewakili rakyat dan menjadi pemimpin rakyat dalam erti kata sebenar.
19. Hari ini kita bersyukur, hari ini kita berbangga kerana UMNO telah dipimpin dan diwakili oleh lebih ramai barisan profesional, oleh para teknokrat dan oleh tokoh koperat. Yang diperlukan adalah menghidupkan semangat berkhidmat, semangat mendampingi rakyat sebagai pelengkap kepada kelulusan profesional yang telah berjaya dimiliki, supaya UMNO terus seiring dengan kehendak dan aspirasi rakyat; supaya UMNO benar-benar memahami denyut hati dan denyut nadi rakyat; supaya ahli-ahli UMNO benar-benar memanifestasikan moto Bersatu, Bersetia, Berkhidmat.
20. Kita juga perlu mendalami formula yang telah diguna pakai buat sekian lamanya yang membolehkan kita berkongsi kuasa dengan jayanya mengurus negara bersama rakan-rakan di dalam BARISAN NASIONAL. Kebelakangan ini, orang Melayu mula terasa terancam dengan apa yang dianggap sebagai permintaan melampau dan tidak munasabah dari orang-orang bukan Melayu yang mempelopori semangat ‘MALAYSIAN-MALAYSIA’ yang begitu lantang dijaguhkan oleh PAKATAN PEMBANGKANG. Ada di kalangan pemimpin PAKATAN PEMBANGKANG yang secara tidak bersopan lagi biadab mempersendakan kedaulatan Raja-Raja Melayu, secara terbuka menghina orang-orang Melayu, dan secara biadap mencerca pertubuhan Melayu dengan kata-kata paling kesat. Pada masa yang sama orang-orang bukan Melayu, termasuk di kalangan rakan-rakan dalam BARISAN NASIONAL terasa terpanggil untuk bersuara dengan lebih lantang, lantaran merasakan diri mereka seakan dipinggirkan dan disisihkan kerana berlakunya kegelinciran pelaksanaan dasar-dasar tertentu Kerajaan. Kelihatan kedua-dua pihak bersuara dengan nada kebimbangan; kedua-dua pihak mencerminkan terdapat perasaan syak wasangka.
21. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan, pastinya akan menghakis semangat kerjasama dan meruntuhkan jambatan perpaduan yang telah berjaya kita bina selama lebih lima puluh tahun yang lalu. Prinsip asas yang menjadi tunjang kekuatan kerjasama kita, tidak boleh sama sekali kita izin untuk dilemahkan. Kita harus dengan hati terbuka, secara ikhlas mencari kembali teras prinsip kerjasama serta gagasan persefahaman yang menjadi asas perpaduan warga, demi menyediakan masa hadapan negara yang aman, stabil dan makmur kepada generasi muda. Masa hadapan negara tidak boleh digadaikan kepada kumpulan yang licik memasang pukat dipergentingan; menangguk di air keruh, golongan opportunis yang mendapat sokongan kerana kejayaan mereka mencetuskan kebencian warga kepada kita.
22. Selepas lima bulan saya dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, ketika saya berdiri di pentas ini, pada 17 Jun 1999, untuk pertama kalinya saya diamanat menyampaikan ucapan perasmian di Perhimpunan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, saya telah memetik firman Allah yang terkandung dalam ayat 68 dari Surah Al-Qasas (terjemahan):
“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang dirancangkan berlakunya, dan Dialah juga yang memilih (satu-satu dari makhlukNya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan); Tidaklah layak dan tidaklah berhak bagi sesiapa pun memilih (selain dati ALLAH), Maha Suci ALLAH dan Maha tinggilah keadaannya dati apa yang mereka sekutukannya. ”
Al-Qasas - 68.
23. Demikianlah kuasa ALLAH S.W.T. menentukan segala sesuatu hingga memungkinkan saya mendapat kepercayaan memimpin UMNO dan memimpin negara di peringkat tertinggi. Saya merupakan insan terakhir bagi generasi saya yang masih berkhidmat sebagai anggota Jemaah Menteri. Saya telah mengambil ketetapan memilih mengundur diri selepas Perhimpunan Agung ini dan pimpinan negara juga akan beralih kepada generasi selepas saya.
24. Ketika saya memilih menyertai UMNO empat puluh lima tahun lalu, saya mempunyai satu niat dan satu tekad, untuk menawarkan perkhidmatan kepada parti yang telah begitu berjasa kepada bangsa dan kepada negara saya. Saya melihat UMNO sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan yang suci serta memiliki idealisme yang murni. Ketika mendaftar diri menjadi ahli UMNO, saya tidak terfikir untuk mendapat faedah kebendaan, tidak juga mengharapkan sebarang imbuhan. Semangat sedemikian bukan hanya terdapat pada diri saya, malah ia adalah satu norma di kalangan ribuan ahli yang seangkatan dengan saya yang menyertai UMNO ketika itu. Kami semua bertekad untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan berkhidmat untuk negara Malaysia tercinta ini. Ketika merasmikan perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita UMNO pada tahun 1999, ‘MENERUSKAN PERJUANGAN - MEMARTABATKAN BANGSA’ telah saya jadikan tema ucapan ulung saya itu.
25. Hari ini generasi seangkatan dengan saya bukan sahaja sudah semakin kecil bilangannya, tetapi yang lebih membimbangkan semangat yang dimiliki oleh generasi seangkatan dengan saya, ketara semakin tipis di kalangan generasi semasa. Semakin ramai yang menyertai UMNO bukan kerana apa yang dapat mereka sumbangkan kepada UMNO tetapi lebih mirip kepada apa yang bakal mereka harap untuk memperoleh. Mereka mengharapkan jawatan - mereka mengharapkan projek - mereka mengharapkan gelaran – mereka mengharapkan kepuasan duniawi. Semangat berkorban - semangat berjuang - semangat berkhidmat untuk bangsa - untuk negara semakin tipis – semakin lemah.
26. Sedarilah! di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika UMNO, dan jika BARISAN NASIONAL tidak berubah, maka pilihan raya kedua belas pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada BARISAN NASIONAL menubuhkan kerajaan. Selepas ini, rakyat di luar Dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi. Di peringkat negeri, BARISAN NASIONAL turut menghadapi cabaran yang sama. Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa ‘UMNO wajib melakukan perubahan’. Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan ‘Aku akan berubah’ lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri. Betapa malangnya UMNO jika ramai yang gagal memahami bahawa UMNO itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, UMNO tidak mungkin dapat berubah.
27. UMNO kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu. Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan. Mereka mempercayai bahawa UMNO akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama – kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga - dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan. Mereka berpandangan bahawa UMNO itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu. Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia.
28. Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat UMNO. Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti UMNO yang kita kasihi ini. Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada UMNO yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan. Barang dijauhkan Allah dari UMNO menimpa nasib hiba yang sedemikian. Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada UMNO, atas rasa tanggung jawab terhadap UMNO dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan Presiden parti, bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai dari ahli-ahli parti dan rakan-rakan baik di dalam ataupun di luar Kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan. Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama, baik di peringkat bahagian mahupun cawangan, baik di peringkat pemuda, wanita dan puteri. Bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati.
29. Untuk terus relevan, UMNO perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang kita telah hilang dengan elemen baru yang harus kita terokai. Kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kita kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti. Hidupkanlah kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan pamerkanlah integriti yang tinggi lagi dihormati. Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul - yang merasakan diri kita sahaja yang pandai, jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita.
30. Di peringkat Kerajaan saya telah berusaha memperkenalkan beberapa mekanisme dalam hasrat memperkukuhkan instrumen pentadbiran yang lebih telus, cekap, adil dan berintegriti, disamping dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Usaha-usaha mengembalikan integriti kehakiman telah dilaksanakan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan, lnstitut lntegriti Nasional diwujudkan, PEMUDAH telah diperkenalkan, dalam usaha berterusan untuk meningkatkan system penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan modal insan diutamakan dan lslam dibangunkan secara progresif melalui pendekatan lslam Hadhari. Menyedari sumber baru kekayaan negara perlu diterokai dan agihan peluang ekonomi berkualiti secara lebih seimbang dan saksama dapat dilaksanakan, program pembangunan ekonomi secara wilayah telah diperkenalkan.
31. Di peringkat UMNO, mungkin telah tiba masanya untuk parti diperkukuhkan dengan memperkenalkan peraturan dan tata cara yang membolehkan parti diurus tadbir dengan cara yang lebih berdisiplin dan terkawal. Mungkin parti memerlukan mekanisme yang lebih memberikan kesaksamaan kepada ahli dan menggugurkan amalan-amalan yang tidak memberikan keadilan kepada majoriti ahli terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai jawatan dan tidak mempunyai kekayaan material. Mungkin masanya telah sampai untuk UMNO juga meletakkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan di dalam parti. Mungkin UMNO juga wajar memberikan hak memilih ketua terutama bagi jawatan-jawatan utama di dalam parti kepada semua ahli untuk mengatasi amalan politik wang.
32. UMNO tidak harus lari dari tanggung jawab membela nasib bangsa Melayu dan bumiputera. Namun UMNO, jangan sekali-kali mengamalkan fahaman ekstremis kaum - ekstremis agama. UMNO jangan sekali-kali mengamalkan diskriminasi hingga dianggap bersifat rasis kepada warga Malaysia yang bukan Melayu. Hak semua warga negara hendaklah senantiasa diberikan jaminan dan dihormati, dilindungi dan dipelihara selaras dengan semangat PERLEMBAGAAN dan Rukun Negara. Ketaatsetiaan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum harus dihargai dalam semangat perkongsian kuasa dan setia kawan. Bahawa kita telah pun lama dahulu bersetuju menyuburkan semangat yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah! mencari titik pertemuan - menyemarakkan nilai persamaan; Jauhkanlah! Jauhkanlah! Jauhkanlah! daripada mengungkit perbezaan dan membesarkan kelainan.
33. Saya amat menghargai peranan warga Malaysia membantu menjamin kearnanan negara dan berusaha memakmurkan negara. Selarna hampir 52 tahun kita merdeka, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan kita cekal bersatu menghadapi setiap cabaran hingga menjadikan negara kita sebagai negara merdeka yang berdaulat dan makmur. Negara kini sedang menghadapi ancaman ekonomi yang paling menakutkan sejak kita mencapai kemerdekaan. Dunia sedang dilanda kemelut ekonorni yang amat dahsyat dan Kerajaan sedang menghadapi tanggung jawab sangat berat untuk meringankan rakyat dari menghadapi kesusahan.
34. Selama lima tahun setengah menjadi Perdana Menteri, saya amat yakin akan potensi dan kekuatan yang kita rniliki, begitu juga rahmat yang telah dilimpahkan oleh lLAHl kepada negara ini. Kita mempunyai modal insan muda yang berpotensi besar untuk kita bangunkan menjadi produktif. Kita mempunyai daya tahan - kita memiliki daya kekuatan untuk menghadapi cabaran kegawatan ekonomi dunia yang sedang melanda asalkan kita terus bersatu dan memberi fokus menghadapi ancarnan ekonomi ini. Kita harus mengurangkan berpolitik, kita harus menghapuskan budaya suka bercakaran sesama sendiri; sebaliknya kita perlu tekun bekerja, menjadi lebih produktif dan menggabungkan kekuatan.
35. Sama-samalah kita insafi bahawa persoalan yang UMNO hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti. la amat bergantung kepada sikap setiap ahli dan peranan barisan kepimpinan yang akan terus memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara. Ahli-ahli UMNO dan barisan kepimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sama ada perkembangan di hari muka berupaya terus mencerminkan kebanggaan tradisi kita. Setiap dari kita sememangnya sedar bahawa pucuk kepimpinan UMNO menentukan pucuk kepimpinan tanahair tercinta. Inilah keistimewaan serta beban tanggung jawab parti keramat kita, dengan izin ALLAH S.W.T. Setiap dari kita sememangnya arif tentang ciri-ciri serta sifat-sifat mulia seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang wajib dipegangi oleh pemimpin-pemimpin kita. Ingatlah! Bahawa undi seorang insan yangberiman dan bertaqwa tidak boleh dijual beli. Semoga pemilihan barisan kepimpinan parti pada kali ini berjalan dengan lancar dan mencerminkan aspirasi mereka yang kita wakili.
Firman ALLAH S.W.T. (terjemahan):
“Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”
As-Saff - 2,3.
36. Tanggung jawab saya sebagai Presiden parti akan berakhir pada penghujung perhimpunan ini. Seterusnya tanggung jawab saya sebagai Perdana Menteri kepada warga dan negara yang saya cintai ini juga akan berakhir.
37. Saya mengucapkan terima kasih atas dedikasi, pengorbanan, sokongan dan bantuan yang telah diberikan kepada saya oleh kawan-kawan yang telah sama-sama bekerja bersama saya sepanjang tempoh lebih 45 tahun saya diberikan peluang untuk berkhidmat dengan Kerajaan, bermula dari seorang pegawai awam dan kemudiannya memberanikan diri mengambil tanggung jawab politik, sejak tahun 1978. Saya menghargai sokongan Dato Seri Najib kepada saya atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri; membawa ingatan nostalgia saya kepada bimbingan dan kepercayaan yang pernah diberikan kepada saya oleh ayahandanya Tun Abdul Razak (Allahyarham) sejak tahun 1969 apabila saya bertugas di urus setia MAGERAN. Saya berterima kasih kepada Tun Hussein Onn (Allahyarham) kerana memberi peluang kepada saya untuk menjadi calon di kawasan Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan memberi jawatan kepada saya di dalam Kerajaan. Saya berterima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana melantik saya menganggotai Jemaah Menteri, melantik saya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan akhirnya memberikan laluan kepada saya menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri. Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua-Ketua Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri, ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua-Ketua Perhubungan Negeri demikian juga Ketua Bahagian dan Ketua Cawangan UMNO dan seluruh ahli-ahli UMNO di seluruh negara.
38. Saya percaya, saya menyerahkan tanggung jawab negara kepada nakhoda lebih muda yang memiliki kematangan dan pengalaman untuk mengemudikan bahtera negara. Saya menyeru supaya beliau diberikan sokongan yang padu untuk membolehkan beliau membawa negara ke mercu kejayaan yang lebih gemilang. Saya sendiri berikrar untuk memberikan sokongan padu kepada Presiden UMNO yang baru - kepada Perdana Menteri Malaysia yang baru.
39. Berasaskan pengalaman, sebagai Presiden parti dan sebagai Perdana Menteri Negara, tugas dan amanah ini amatlah berat. Ada kalanya keputusan yang dibuat boleh mencetuskan kontroversi; ada keputusan yang tidak mendapat persetujuan seratus peratus. Tanggung jawab utama seorang pemimpin adalah untuk menentukan sesuatu yang terbaik untuk warga - untuk negara meskipun ada keputusan yang tidak akan disenangi. Namun pemimpin itu perlu diberikan keyakinan dan kestabilan minda supaya terus bersikap rasional – bersifat objektif. Jika kita tidak memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya, jika kita pula memilih untuk menyerang dan mempersendakan peribadinya, kita sebenarnya bertanggung jawab melemahkan parti kita; kita juga bertanggung jawab menjatuhkan pemimpin UMNO di kerusi Perdana Menteri; kita sebenarnya menghakis sistem yang telah kita bina, sistem yang telah memberi kekuatan kepada kita selama ini. Betapa beratnya amanah yang wajib dipikul oleh Perdana Menteri negara ini, memenuhi tanggung jawab sebagai pemimpin parti, pemimpin bangsa, pemimpin negara. Di bahu beliaulah harapan semua, tanggung jawab menentu nasib kita bersama.
40. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya, saya mengakui bahawa saya tidak sepi dari melakukan kesilapan. Saya juga mungkin tidak dapat memenuhi semua perkara yang pernah saya janjikan. Walau apa pun kesilapan – walau apa pun kekurangan yang telah berlaku, adalah menjadi tekad saya untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga dan negara ini. Apa juga usaha yang dilakukan untuk mengekalkan kejayaan yang telah dicapai oleh pemimpin terdahulu, di samping merintis usaha-usaha baru untuk meningkatkan kejayaan lebih gemilang, dapat saya laksanakan kerana adanya sokongan yang diberikan oleh saudara-saudari, sokongan dari rakan-rakan pimpinan parti di dalam UMNO dan di dalam BARISAN NASIONAL, dari rakan-rakan pentadbiran dan kakitangan pentadbiran dan dari setiap warga Malaysia termasuk rakyat biasa baik di desa mahupun di bandar.
41. Bahawa kesempurnaan itu hanyalah sifat milik ILAHI. Segala kekurangan adalah kelemahan saya sendiri sebagai insan yang tidak sempurna. Saya memohon maaf atas kelemahan saya itu. Apa yang saya terus usahakan adalah amalan keikhlasan dan kejujuran. Saya bersyukur ke hadrat ILAHl yang telah mengangkat saya berada di kedudukan semulia ini. Pada usia selanjutnya, saya memohon kepada ILAHl semoga mata hati saya senantiasa menemui kejernihan. Semoga ALLAH S.W.T. terus melimpahkan rahmat, memberikan petunjuk kepada parti dan pimpinan parti, begitu juga kepada warga dan Negara Malaysia; barang dijauhkan Allah dari kita dilanda bencana dan mala petaka.
42. Firman ALLAH S.W.T. (terjemahan):
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah dia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah ALLAH), kerana bagi ALLAH jualah segala kemuliaan. Kepada ALLAH-lah naiknya segala perkataan yang baik dan amal yang salih pula diangkatNYA naik. Sebaliknya, orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) akan beroleh azab yang berat. Rancangan jahat mereka akan rosak binasa. ”
Al-Fatir - 10.
43. Semoga pimpinan dan masa hadapan UMNO, begitu juga warga dan negara Malaysia terus berada di tangan mereka yang berjiwa ikhlas dan barang dijauhkan UMNO dan negara jatuh ke tangan orang-orang yang akan membawa kerosakan. Semoga usaha kita mendapat keredaan ILAHI.
BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT.HIDUP UMNO! HIDUP MELAYU!Wabilahitaufik WalhidayahWassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Keputusan Rasmi Pemilihan UMNO Mar 25th, 2009

· 0 comments

[UMNO online By admin Category: Berita Utama ]
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menang ketua Wanita UMNO dengan majoriti besar apabila mengutip 507 undi mengalahkan penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz yang meraih 280 undi. Pengerusi Tetap Wanita UMNO, Tan Sri Napsiah Omar mengumumkan senarai 20 pemenang jawatan Exco pergerakan itu.
Bagi Pergerakan Pemuda UMNO, jawatan ketua Pemuda dimenangi oleh Khairy Jamaludin berjaya menewaskan dua lagi calon, Datuk Seri Dr. Mohd. Khir Toyo dan Datuk Mukhriz Mahathir dengan mendapat 304 undi.
Pemilihan pergerakan Puteri Umno pula menyaksikan Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memenangi jawatan Ketua bagi sesi pemilihan 2008 hingga 2011 dengan memperoleh 245 undi.

Berikut adalah senarai rasmi keputusan pemilihan

PERGERAKAN WANITA
Pengerusi Tetap:
Tan Sri Napsiah Omar – Menang tanpa bertanding
Timbalan Pengerusi Tetap
Datuk Sharifah Aminahbi Sy:ed Mohd
Ketua Wanita:
Datuk Seri Shahrizat Abdil Jalil - 507 undi
Naib Ketua Wanita:
Datuk Kamilia Ibrahim – Menang tanpa bertanding
Exco Wanita:
1. Hasnah Salam - 520 undi
2. Datuk Maznah Abdul Hamid - 509 undi
3. Datuk Rosni Zahari - 480 undi
4. Datuk Armani Mahiruddin - 463 undi
5. Datin Paduka Norhayati Onn - 463 undi
6. Datuk Norhayati Omar - 432 undi
7. Datuk Rusnah Kassim - 430 undi
8. Marlia Abd Latiff - 416 undi
9. Noriah Mahat - 412 undi
10. Ros Suryati Alang - 405 undi
11. Jamelah A Bakar - 400 undi
12. Suraya Yaacob - 388 undi
13. Azihani Ali - 385 undi
14. Norliza Abdul Rahim - 377 undi
15. Sharifah Azizah Syed Zain - 375 undi
16. Datuk Maznah Mazlan - 374 undi
17. Datuk Azizah Mohd Dun - 371 undi
18. Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin - 367 undi
19. Norliza Ahmad - 347 undi
20. Wan Hazani Wan Mohd Nor - 344 undi
PERGERAKAN PEMUDA
Pengerusi Tetap:
Datuk Abdul Fattah Abdullah - 460 undi
Timbalan Pengerusi Tetap:
Muhammad Yadzan Mohammad - 202 undi
Ketua:
Khairy Jamaluddin Abu Bakar - 304 undi
Naib Ketua:
Datuk Razali Ibrahim - 417 undi
Exco:
1. Mohamed Suffian Awang - 653 undi
2. Shafiqurrahman Haji Shamsuddin - 569 undi
3. Sohaimi Shahadan - 541 undi
4. Mohd Gasing Saling - 534 undi
5. Mohd Afandi Yusoff - 503 undi
6. Jamawi Jaafar - 471 undi
7. Wan Amizan Wan Abdul Razak - 471 undi
8. Tengku Azman Tengku Zainol Abidin - 455 undi
9. Ahmad Darus - 446 undi
10. Ahmad Zaki Zahid - 446 undi
11. Ali Mazat Salleh - 437 undi
12. Megat Zulkarnain - 436 undi
13. Zubir Zabidi - 419 undi
14. Nazir Hussin Akhtar Hussin - 419 undi
15. Lokman Noor Adam - 406 undi
16. Syahrin Md Jamaluddin - 404 undi
17. Tun Faisal Ismail Aziz - 402 undi
18. Muhammad Khairun Aseh - 389 undi
19. Mohd Hisamudin Yahaya - 388 undi
20. Mohamad Iruan Zulkefli - 387 undi
PERGERAKAN PUTERI
Pengerusi Tetap:
Azlieza Azizan - 445 undi
Timbalan Pengerusi Tetap:
Hasspalela Mohammed Hassan - 499 undi
Ketua:
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin - 245 undi
Naib Ketua:
Shahanim Mohamad Yusoff - 353 undi
Exco:
1. Mas Ermieyati Samsudin - 604 undi
2. Hasrunizah Hassan - 514 undi
3. Azlinda Zubir - 510 undi
4. Zahida Zarik Khan - 501 undi
5. Asmaiza Aahmad - 498 undi
6. Norhasmizah Mat Tahir - 482 undi
7. Fahariyah Md Nordin - 474 undi
8. Wan Salwati Abdullah - 465 undi
9. Dg Maimunah Sidek - 453 undi
10. Isfarina Mohd Ali - 444 undi
11. Wan Zawiyah Wan Halim - 433 undi
12. Norsabrina Mohd Noor - 426 undi
13. Nor Azita Abdul Rahman - 414 undi
14. Fatimah @ Nik Fatimah Nik Salleh - 400 undi
15. Seriwani Sabtu - 395 undi
16. Jamilah Hanim Othman - 388 undi
17. Idamoerni Zakaria - 384 undi
18. Anita Murad - 379 undi
19. Zauyah Zainuddin - 377 undi
20. Rina Mohd Harun - 375 undi

Perjuangan belum selesai - Mukhriz

· 0 comments

[Bernama, 26/03/2009 5:29pm]
KUALA LUMPUR 26 Mac — Memahami kekecewaan penyokongnya, dari dalam atau luar parti, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata kekalahannya dalam pemilihan Ketua Pemuda Umno tidak bermakna perjuangannya untuk melakukan perubahan dalam parti akan berkubur begitu sahaja.
Anggota Parlimen Jerlun itu menegaskan kekalahan itu juga tidak bermakna perjuangannya dalam parti sudah tamat.
“Saya tetap akan menyumbang kepada parti, walaupun tiada jawatan,” kata anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Bernama ketika melawat bilik operasi agensi berita itu yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Pada pemilihan semalam, Mukhriz, 44, yang mendapat 232 undi dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo (254 undi), 43, tewas kepada Khairy Jamaluddin, 33, yang mendapat 304 undi.
Keputusan itu tidak dapat diterima penyokong Mukhriz kerana Khairy sebelum ini didapati bersalah kerana menyalahi Artikel 10.1 Etika parti membabitkan politik wang tetapi hanya diberikan amaran dan dibenarkan bertanding oleh Lembaga Disiplin Umno.
Namun bagi Mukhriz, Pemuda Umno perlu jujur untuk melakukan perubahan.
Ditanya adakah beliau akan bersuara dan menegur jika kepimpinan baru parti melakukan kesilapan, sepertimana dilakukannya sebelum ini, pemimpin muda itu berkata: “sudah tentu”.
“Jangan kerana ada peralihan kuasa maka saya akan berdiam diri. Datuk Seri Najib Tun Razak (Presiden Umno) tahu, itu sifat saya.
“Saya akan tegur bukan kerana tidak suka tapi untuk kebaikan parti dan rakyat,” kata Mukhriz yang mengenakan baju Melayu merah dengan mafela Palestin di atas bahunya yang menjadi “ciri” pemimpin muda itu selama ini.
Mukhriz akan melepaskan jawatan Penyelaras Aman Malaysia, sebuah badan bukan kerajaan, yang dipegangnya sejak 2004 kerana beliau bukan lagi Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Umno.

Assalamualaikum...

Wednesday, March 25, 2009 · 0 comments