Aura perhimpunan agung – UMNO masih kuat?

Tuesday, October 19, 2010 ·

19-10-10

Oleh Zulkefli Hamzah

PERHIMPUNAN agung UMNO selalunya mempunyai aura yang berbeza. Sebab itu, sesiapa pun yang bakal berucap di perhimpunan terbesar pemimpin Melayu itu – dari pemimpin cawangan sehingga majlis tertinggi – selalunya akan bersiap rapi.

Debarnya seperti mahu disunat tok mudim. Gemuruhnya umpama berakad nikah, kata mereka. Malah seorang pemimpin tinggi pun boleh berasa terkucil semasa berhadapan dengan perwakilan perhimpunan agung UMNO itu.

Berucap di perhimpunan agung UMNO merupakan satu komitmen besar. Kesilapan kecil semasa berada di pentas ini boleh membawa petaka besar. Inilah aura perhimpunan agung UMNO yang bukan calang-calang orang boleh melepasinya dengan disusuli pula markah yang tinggi.

Dan, aura itu masih dirasai dalam Perhimpunan Agung UMNO 2010 ini. Sejak beberapa minggu lalu, pemimpin mahupun pembahas bertungkus-lumus mengumpulkan input daripada minda-minda terbaik bagi memastikan ucapan menepati suasana dan hujah yang bernas serta tentu sekali mampu mempesona khalayak.

Kehadiran di podium mesyuarat tahunan ini tidak pernah dipandang remeh. Mengapa? Kerana UMNO tetap mempunyai aura khas. UMNO masih kuat dan dipandang tinggi oleh kawan mahupun lawan.

Semboyan ‘berubah sebelum diubah dan berubah sebelum rebah’ yang ditiupkan selepas tsunami 2008 telah banyak mengubah wajah parti berusia 64 tahun ini.

Sedikit demi sedikit, UMNO telah merelakan transformasi khususnya dalam aspek pemilihan pucuk kepemimpinan. Ahli parti dan majoriti orang Melayu masih tetap berharapkan UMNO sebagai wadah perjuangan.

Ya, memang masih ada cakap-cakap segelintir pemimpin UMNO tidak banyak berubah. Masih ada yang khayal dan pentingkan pundi. Memang ada pandangan segelintir wakil rakyat UMNO masih bermalas-malas menghamba kepada rakyat yang diwakilinya.

Benar, di sesetengah tempat program dan aktiviti UMNO gagal menepati sasaran, hanya syok sendiri. Sukar dinafikan, ada jentera UMNO terutama di kawasan pembangkang seperti masih teraba-raba. Malah segan pula untuk memakai baju UMNO.

Tetapi bolehkah semua ini dijadikan petunjuk bahawa UMNO tidak lagi kuat? Tidak, sanggah Ketua Pemuda UMNO Seputeh, Mohd. Razlan Rafii.

Baginya orang Melayu masih percaya kepada perjuangan UMNO seperti yang ditunjukkan dengan undi pada pilihan raya kecil lalu. Secara keseluruhannya pula, beliau melihat perubahan sikap pemimpin di peringkat bahagian yang sudah mula mendekati rakyat dan ahli UMNO.

Walaupun kawasan Parlimen Seputeh di ibu kota ini dikuasai pembangkang dan kuota MCA sejak dulu, Razlan dan jentera Pemuda tidak patah semangat meneruskan aktiviti mendampingi pengundi. Sebut sahaja antaranya, anugerah pelajar cemerlang, program belia dan sukan serta Pemuda masuk sekolah.

Begitu juga kepada Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Puad Zarkashi. Pemimpin pelapis yang sedang meningkat naik ini yakin UMNO tetap kuat, malah bertambah kuat.

Sambil mengakui beberapa kelemahan perlu diatasi seperti perang siber dan perilaku segelintir ahli, beliau melihat perubahan yang dilakukan oleh kepemimpinan parti akan memberikan kesan berganda.

Cara parti diurus, gerakan mendekati dan memayungi rakyat serta transformasi yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi impak besar kepada kekuatan UMNO sekarang.

Barangkali, apa yang dilakukan Bahagian Batu Pahat, satu daripada 191 bahagian UMNO ini untuk mendekatkan parti kepada ahli dan pengundi, boleh dicontohi. Setakat ini, pendekatan UMNO ‘outreach’ Bahagian Batu Pahat yang dipimpin oleh Puad itu cukup meyakinkan. Dalam tempoh enam bulan bahagian itu berjaya menambah lebih 2,000 orang ahli.

Program khairat kematian mendapat sambutan lebih 6,000 orang yang kebanyakannya bukan ahli UMNO. Caranya mendekati masyarakat melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sahaja sederhana tetapi juga melangkaui sempadan kaum dan umur.

Memang banyak yang perlu dilakukan oleh UMNO, sebagai parti tunjang pemerintahan Kerajaan Persekutuan sekarang. Sebagaimana diakui oleh Razlan dan Puad, sudah ada keberanian peringkat kepemimpinan dan akar umbi untuk melakukan perubahan.

Terlihat ada kemampuan oleh saf kepemimpinan di semua peringkat untuk membaca dan seterusnya memahami yang tersurat mahupun tersirat dasar-dasar mahupun program-program kerajaan seperti Model Baru Ekonomi dan Program Transformasi Ekonomi.

Segala kepincangan dan kelemahan di pelbagai struktur parti sebenarnya boleh diatasi melalui cara baru pendekatan dan pengurusan parti. Ingatlah, melalui struktur parti yang semakin kukuh, mereka yang gagal memahami aspirasi akhirnya akan tersingkir jua.

Dan aura luar biasa perhimpunan agung ini harus dibawa pulang ke kawasan masing-masing dan diterjemahkan pula dalam bentuk tindakan yang nyata.

Jika di pentas perhimpunan agung ini, sesama pemimpin dan ahli berpelukan tanda perpaduan, zahirkan ikatan itu dengan ikhlas. Jangan di pentas berkata lain, di bawah apabila bersama penyokong bertindak lain pula.

Jika di perhimpunan agung ini, sesama pemimpin dan ahli beriktikad membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, buktikan ikatan itu dengan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Bukan terus cantas mencantas dan salah menyalahkan.

Sejak sekian lama UMNO sudah terkenal dengan semangat pantang menyerah. Sejak sekian lama pula ahli UMNO tersohor dengan semangat perjuangan. Perjuangan yang kental sehingga mampu mendepani dan melawan segala rintangan.

Barangkali semangat perjuangan itu pernah luntur. Memang ada pasang surutnya. Tetapi di perhimpunan agung ini selepas dua tahun tsunami 2008, UMNO harus terus memperkasakan semangat pantang menyerah itu. Saksikan dan rasailah, aura perhimpunan agung UMNO itu yang tetap menebarkan pesonanya. Yang membawa petanda bahawa UMNO itu tetap kuat.

/hwa: utusan.com.my/

0 comments: