'Tuding jari atau hilang kerajaan'

Tuesday, October 19, 2010 ·

20-10-10


Para perwakilan memberikan tepukan kepada Muhyiddin Yassin sewaktu menyampaikan ucapan pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, malam tadi.
KUALA LUMPUR 19 Okt. - Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 perlu dibebaskan daripada budaya bobrok yang sering berlaku dalam perhimpunan-perhimpunan sebelum ini apabila para perwakilan atau pembahas ghairah menuding jari dan mencari kesalahan pemimpin- pemimpin parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika budaya negatif itu diteruskan juga, ahli-ahli UMNO perlu bersedia mendepani akibatnya iaitu menanggung harga sangat tinggi apabila berkemungkinan besar parti akan kehilangan kerajaan.

Menurutnya, kemungkinan terburuk itu tidak mustahil berlaku sekiranya ahli-ahli UMNO tidak lagi memikirkan tentang bagaimana untuk memperkukuhkan parti dan memastikan kelangsungannya, sebaliknya asyik dengan kerja menyenaraikan kesalahan pemimpin mereka sendiri khususnya pimpinan tertinggi parti.

"Ketika orang sana (parti pembangkang) lantang bersuara bahawa mereka semakin hampir ke Putrajaya, kita pula leka dengan menuding jari mencari salah semua orang, mereka sajalah yang betul dalam UMNO, apa pun yang pemimpin buat untuk parti semua salah.

"Jika para perwakilan dan pembahas sendiri tidak menganggap Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai suatu perhimpunan yang penting demi kelangsungan parti sebaliknya tidak habis-habis dengan menuding jari kepada pemimpin, kita akan hilang kerajaan.

"Ini ingatan kepada kita semua bahawa itulah (kehilangan kerajaan) yang harus kita tanggung dan kemudiannya terpaksa pula membayar harga yang tinggi untuk menebus kesilapan itu," tegasnya kepada Utusan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau diminta menyatakan harapannya kepada para perwakilan dan pembahas dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 yang akan berlangsung tiga hari bermula Khamis ini.

Dalam perhimpunan kali ini, 4,907 orang perwakilan akan mengambil bahagian termasuk 793 orang ke Perhimpunan Agung Wanita manakala 795 orang (Pemuda) dan 776 orang (Puteri).

Ahmad Zahid menggesa para perwakilan, pembahas-pembahas dan ahli UMNO keseluruhannya supaya jangan menjadi punca kepada 'kehilangan kerajaan' seperti berlaku kepada Parti Kongres di India, Parti Golkar (Indonesia) dan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun yang hilang kuasa selepas begitu lama memerintah.

"Sehingga kini di Indonesia (Golkar) dan di Jepun (LDP) mereka tidak dapat lagi merampas kuasa pemerintahan yang sebelum itu menjadi milik mereka.

"Adakah itu yang ahli-ahli UMNO mahu lihat sekarang? Bukankah kita sudah hilang beberapa negeri, adakah kita mahu kehilangan Malaysia pula selepas ini?" katanya.

Diminta menyenaraikan perkara-perkara yang sepatutnya menjadi fokus di kalangan para perwakilan, Ahmad Zahid memberitahu, antaranya adalah mencadangkan bagaimana jentera parti di akar umbi hendak digerakkan dengan lebih berkesan.

"Yang penting mereka tampil mencadangkan dalam perhimpunan kali ini, bagaimana kelesuan gerak kerja akar umbi boleh diberi nafas baru, bagaimana UMNO boleh mendaftarkan lebih ramai pengundi untuk menyokong Barisan Nasional (BN).

"Saya juga sangat ternanti-nanti mereka yang naik ke pentas itu melontarkan buah fikiran bagaimana isu-isu yang dituding kepada kita oleh pembangkang bukan saja dapat dijawab malah diterima oleh rakyat.

"Kita juga mahu mereka memberi idea-idea bagaimana kebahagiaan rohani boleh dirasai oleh keseluruhan rakyat," katanya.

www.utusan.com.my/

0 comments: