Perwakilan Kelab UMNO Luar Negara Bangga Sertai Forum Antarabangsa

Monday, October 18, 2010 ·

18-10-10

KUALA LUMPUR, 16 Okt – Ketua Penerangan Kelab UMNO London, Ahmad Dzuhair Hanafiah berkata, beliau dan rakan-rakannya berasa bangga dan bertuah kerana dapat menyertai forum bertaraf antarabangsa pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.

Katanya, forum antarabangsa bertemakan Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru itu pasti akan akan memberi ruang kepada wakil-wakil kelab UMNO Luar Negara menimba pengalaman sangat berharga kerana ia disertai oleh delegasi dalam dan luar negara yang berkaliber.

Ahmad Dzuhair yang ditemui pada Majlis Makan Malam KLUN dan perasmian Kursus Kepimpinan KULN di Bilik Mawar, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkata, perwakilan Kelab UMNO Luar Negara sangat menghargai peluang yang diberikan dan tidak akan mensia-siakannya.

“Ahli panel yang bakal membentangkan kertas kerja di dalam forum ini adalah mereka yang tersohor. Sudah pasti banyak maklumat akan dapat saya terapkan di London nanti,” ujarnya.

“Saya amat berharap forum ini dapat membantu saya dan rakan-rakan lain di Kelab UMNO London mengukuhkan lagi UMNO di luar negara,” tambah beliau.

Wakil Kelab UMNO South Australia (Adelaide), Salreani Mat Roni turut melahirkan rasa terharu dan amat berbangga diberi peluang mengikuti forum ini.

“Dengan pendedahan mengikuti forum ini, sudah tentu ia akan membantu saya menjadikan Kelab UMNO Adelaide semakin baik dan maju,” jelasnya.

Para perwakilan KULN seramai 63 orang akan mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang bakal bermula 19 Oktober depan. Terlebih dahulu anggota perwakilan ini akan mengikuti Kursus Kepimpinan KULN selama dua hari di PWTC.

MediaUMNO.

0 comments: