Tingkatkan servis wakil rakyat UMNO

Tuesday, October 19, 2010 ·

19-10-10

Oleh MOHD. NOOR RAMELI

PENULIS terdorong untuk mengulas berkenaan penyampaian perkhidmatan oleh wakil rakyat UMNO setelah membaca ulasan Awang Selamat dalam akhbar ini kelmarin.

Tulisan Awang mengingatkan penulis kepada beberapa aspek yang hampir dilupakan oleh UMNO setelah sekian lama berada di tampuk kuasa.

Seruan itu bukan sahaja elok dikumandangkan kepada wakil-wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen malah kesemua pemimpin UMNO yang bergerak di peringkat nasional, bahagian mahupun cawangan-cawangan.

Berkenaan kekuatan penyampaian perkhidmatan ini, terdapat dua kes yang mungkin seronok untuk kita renungi dan memberi pengajaran yang amat berguna jika kita menjadikannya sebagai inspirasi.

Kes pertama ialah sokongan padu yang diterima oleh Hamas di Palestin sehingga pergerakan itu mencapai kemenangan menewaskan Fatah sekalipun pertubuhan itu lebih mendapat dokongan antarabangsa.

Mengapa terjadi demikian tidak lain disebabkan organisasi Hamas memberikan perkhidmatan sokongan dan bantuan kepada penduduk Palestin dengan bersungguh-sungguh sehinggakan penduduk yang juga pengundi sanggup berkorban untuk menghadapi kesusahan bersama-sama pemimpin Hamas.

Pengundi mereka pastilah sudah tahu bahawa dengan mengundi parti itu yang dipropaganda sebagai pengganas, maka mereka akan berdepan dengan tekanan antarabangsa.

Itulah yang terjadi, selebihnya adalah sejarah di mana walaupun mendapat majoriti, hak Ismail Haniyeh dinafikan untuk memerintah Palestin.

Kes kedua berkenaan pengaruh bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra ke atas kumpulan penyokongnya yang terdiri daripada penduduk daerah pedalaman negara gajah itu.

Thaksin melalui jaringan dan organ partinya telah memberikan bantuan kewangan dan servis yang amat hebat. Dikatakan bahawa kesemua pemimpin kecil parti akan membantu dan menyebut 'ini bantuan daripada Thaksin' selepas servis diberikan.

Kesannya, mereka melalui perkumpulan yang terkenal dengan warna merah sanggup memberi nyawa untuk menyatakan sokongan terhadap Thaksin. Parti apa sekalipun bukan lagi penting asalkan diketahui parti itu disokong oleh Thaksin.

Kesemua bentuk sokongan dengan kesanggupan menjadikan nyawa sebagai galang ganti ini menuntut kerja keras bertahun-tahun, namun hasilnya juga amat hebat dan kesannya berlangsung lama.

Apa yang boleh diperhatikan terjadi kepada UMNO pada hari ini ialah menganggap servis sebagai satu bentuk media excercise oleh pemimpin. Kumpulan penerima servis adalah kumpulan yang unik di mana melalui gerakan dan tingkah laku, atau disebut body language mereka mampu mengukur keikhlasan, bukan dari segi jumlah sumbangan atau perkhidmatan yang diberikan.

Pemimpin UMNO di semua peringkat sepatutnya menilai semula berkenaan servis yang mereka berikan.

Tipsnya begitu mudah bagi mencapai apa yang telah dilakukan Hamas dan Thaksin - mulakan servis dari hati. Tanyakan diri sendiri sewaktu perkhidmatan diberikan, sekiranya ikhlas dan berterusan lambat laun akan besar dan lama kesannya, mungkin melangkaui beberapa generasi.

/hwa: utusan.com.my/

0 comments: