Tengku Adnan Mahu KULN Turut Perteguh UMNO

Monday, October 18, 2010 ·

18-10-10

KUALA LUMPUR, 17 Okt. – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor meminta Kelab UMNO Luar Negara (KULN) turut sama memainkan peranan untuk memperteguhkan parti dan menolak kecaman serta persepsi yang dibuat terhadap UMNO.

Katanya, sejak kebelakangan ini iaitu sejak 6 tahun lalu, orang banyak menghina UMNO, mengata, mengherdik dan tiada siapapun yang mempertahankan UMNO umpamanya ia adalah satu pertubuhan atau nama yang begitu rendah.

“Sebenarnya UMNO tidak salah kerana UMNOlah yang telah memberi segala keselesaan kepada penduduk dalam negara ini tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan atau kaum Iban. Ini yang telah dilakukan oleh datuk nenek kita dan pemimpin sebelumnya,” katanya.

Tengku Adnan berkata demikian dalam ucapan penutup Kursus Kepimpinan kepada para perwakilan Kelab UMNO Luar Negara ke Persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2010, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Kerajaan dan UMNO telah memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk menghantar para pelajar ke luar negara dengan memberikan bantuan dan peluang tanpa mengira kedudukan dan latar belakang selain daripada keupayaan dan kecemerlangan yang dicapai.

“Apabila berada di luar negara janganlah pula mahu menjadi perosak yang akan meruntuhkan dasar dan perjuangan yang dibina oleh UMNO selama ini, iaitu satu-satunya parti yang sentiasa menjaga kepentingan bangsa,” katanya lagi.

Tegasnya, ingatlah, renunglah siapa kita dahulu sebelum menyambung pengajian ke peringkat antarabangsa lantas janganlah sampai melupakan akar umbi yang menjadi pejuang kepada kejayaan terbabit.

“Kita perlukan semua pihak termasuklah pelajar-pelajar untuk luar negara membantu meyakinkan rakyat bahawa parti yang kita pilih selama ini iaitu setelah 53 tahun Merdeka adalah pilihan tepat dengan bersama memberi penerangan berkaitan dasar dan gagasan UMNO,” katanya.

Tambahnya Tengku Adnan lagi, Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian diutamakan perlu difahami lantas pelajar-pelajar KULN ini menjadi mata, telinga dan mulut parti untuk memberikan penerangan.

“Kita perlu beri penerangan kepada rakan-rakan kompenan bahawa 1Malaysia ini bukan kesamarataan tetapi berdasarkan kepada satu konsep yang rakyat mesti didahulukan dan pencapaian itu pula adalah keperluan yang mesti dicapai.

“Jangan anggap 1Malaysia ini sebagai kesamarataan tetapi ia Mereka berdasarkan kepada Perlembagaan yang telah nyata. Kita tidak boleh lari daripada apa yang tertulis di dalam Perlembagaan,” ujar beliau.

Dalam kesempatan ini, beliau menegaskan bahawa perjuangan UMNO jelas iaitu untuk agama, bangsa dan negara malahan dengan perjuangan ini juga kaum-kaum lain turut mendapat kesan positif dan peluang-peluang yang baik dalam masyarakat.

“Sekiranya kita tidak pasti, maka bertanyalah dan rujuklah kepada pemimpin atasan termasuklah pengerusi biro yang sentiasa ada bersama dan sedia memberi penerangan, nasihatnya lagi.

Jelas beliau, UMNO menolak perjuangan bersifat individu yang hanya mementingkan kedudukan, pangkat dan kuasa sehinggakan memalitkan kesalahan kepada parti sendiri.

“Apa sahaja yang kita lakukan hari ini adalah untuk perjuangan masa hadapan dan keselesaan kepada generasi akan datang,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri Belia dan Sukan Datuk Shabery Cheek merangkap Pengerusi Biro KULN dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Shahidan Kassim.

- MediaUMNO

0 comments: