UMNO tidak takut untuk berubah

Wednesday, November 4, 2009 · 0 comments

Utusan - 16/10/2009
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

pengarang@utusan.com.my
UMNO mungkin satu-satunya parti yang paling responsif kepada perkembangan semasa!
Untuk menjadi parti yang dinamik dan memenuhi kehendak ahli dan rakyat terbanyak, ia tidak takut untuk berubah.
Jika sebelum ini, perlembagaan parti dipinda untuk memperkenalkan sistem kuota bertujuan mengekang politik wang, semalam - UMNO tidak segan berpatah balik menghapuskan sistem kuota demi matlamat yang sama membanteras gejala negatif itu.
Untuk menjadi lebih demokratik, pindaan dimuktamadkan bagi memulangkan proses memilih pemimpin tertinggi kepada 146,500 perwakilan di peringkat bahagian. Sebelum ini, ia menjadi hak eksklusif 2,500 perwakilan yang layak ke Perhimpunan Agung UMNO.
Pindaan semalam juga menghapuskan halangan untuk ahli UMNO bertanding, selain syarat minimum ditetapkan untuk calon yang bertanding di peringkat bahagian atau pusat.
Menjadi harapan semua pindaan tujuh fasal serta 41 klausa dalam perlembagaan parti itu mampu menjadi serampang pelbagai mata - merealisasikan pelbagai matlamat murni yang dicitakan di sebalik usaha pindaan itu.
Mudah-mudahan hasrat dan semangat pindaan tercapai.
Selepas proses menjadi ahli UMNO dipermudahkan - seperti disentuh Presiden - diharap tidak ada lagi kes borang permohonan 'hilang' di tengah jalan atau cicir di mana-mana.
Kuasa telah diberikan kepada ketua cawangan dan ketua-ketua sayap di peringkat cawangan untuk meluluskan permohonan.
Justeru sejauh mana keupayaan sesebuah cawangan menarik penyertaan penduduk di kawasan mereka menganggotai UMNO memang patut menjadi ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Tidak patut lagi timbul masalah untuk sesiapa pun menjadi ahli di mana-mana cawangan.
Apatah lagi isu remeh kegagalan ahli menghadiri mesyuarat gara-gara tidak membayar yuran tahunan RM2.
Jika masih ada masalah, ia akan dilihat sebagai onar peringkat cawangan!
Dayung sudah di tangan - terpulang kepada ahli menggerakkan perahu perubahan untuk membawa parti terus maju ke depan.
Tidak ada gunanya jika Presiden dan Timbalan Presiden parti sahaja sanggup membuang perisai yang melindungi kedudukan mereka sedangkan orang lain terus mahu bergayut dengan jawatan.
Sikap sebeginilah yang mendorong menularnya politik wang.
Keikhlasan UMNO untuk berubah memulangkan hak memilih pemimpin parti itu kepada akar umbi, akan dinilai rakyat.
Tidak boleh tidak, pemimpin perlu mendekati ahli akar umbi kerana golongan ini yang hampir dengan rakyat akan menilai prestasi mereka.
Mungkin ada suara-suara pesimis yang sangsi dengan perubahan ini. Namun kesan positif pindaan perlembagaan sebenarnya tidak dapat dinafikan.
Suka atau tidak, mahu tidak mahu, pemimpin UMNO perlu turun ke bawah berjumpa rakyat.
Ini kerana, era pemimpin yang hanya popular di peringkat nasional atau dalam kalangan perwakilan di PWTC sahaja sudah berlalu.

Sahut amanat Presiden UMNO dengan keazaman dekati rakyat

· 0 comments

Utusan - 16/10/2009
UCAPAN dasar sulung Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung UMNO ke-60 semalam seharusnya menyentak minda para perwakilan.
Mesej Najib mesti dibawa pulang ke kawasan masing-masing setelah perhimpunan tamat petang ini.
Najib telah menghuraikan beberapa kelemahan yang perlu diperbetulkan.
Malah membangkitkan semangat dan keazaman pemimpin-pemimpin UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti itu. Justeru UMNO perlu menyusun strategi perjuangan yang perlu digembleng oleh ahli-ahli parti.
Selain membangkitkan perlunya usaha mengukuhkan kepercayaan rakyat dan integriti parti, ucapan dasar Presiden UMNO itu turut mengungkap seruan menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum.
UMNO perlu ingat, parti itu tidak akan dapat menubuhkan kerajaan bersama komponen Barisan Nasional lain jika tidak mendapat sokongan daripada segi undi rakyat berbilang kaum dalam pilihan raya.
UMNO perlu dekati dan berikan khidmat bakti menjaga kebajikan rakyat. Jika hari ini UMNO berbudi, satu hari nanti rakyat akan ingat dan rela menyokong kepimpinan parti itu.
Paling penting UMNO perlu terus mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan Bumiputera. Jika sokongan itu terus terhakis, maka UMNO tidak akan dihormati baik kawan apatah lagi lawan.
Oleh itu UMNO mesti terus memainkan peranan mewakili suara hati nurani rakyat terbanyak.
Ahli UMNO perlu insaf akan hakikat ini. Ahli UMNO perlu membuang jauh-jauh persepsi parti itu sebagai lubuk untuk cari makan.
Jika ahli UMNO benar-benar mahu memastikan kelangsungan perjuangan parti keramat ini sebagai tulang belakang kerajaan, maka berazamlah untuk melakukan transformasi dalam semua aspek seperti yang dikatakan sebelum ini.
Bersedialah mengambil langkah-langkah pembetulan dengan segera.
Tindakan perubahan dan pembaharuan itu bukan sekadar dengan kata-kata sahaja tetapi ditunjukkan dalam bentuk amalan, aktiviti dan program antara parti dengan rakyat.
Dalam konteks ini, ahli UMNO perlu menyahut seruan Presiden parti supaya menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawan dalam parti.
Mereka perlu bergerak mendekati rakyat bersama-sama dengan golongan profesional dan badan-badan bukan kerajaan.
Para pemimpin UMNO mesti lupakan status jawatan ketika turun padang untuk berbakti. Mereka kena tampil ke hadapan menjelaskan isu-isu berkepentingan rakyat tanpa disuruh-suruh. UMNO wajar meneruskan tradisi parti yang menjuarai isu-isu rakyat.
Sesungguhnya jika UMNO berjaya menyelami denyut nadi rakyat, maka mereka akan sentiasa mengingati dan ada balasannya kemudian hari.
UMNO tidak sepatutnya menunggu masa menjelang tiba pilihan raya baharu hendak menunjukkan keprihatinan kepada rakyat. Mulakan segera keazaman untuk berubah sikap dalam erti kata perjuangan yang sebenar.
Sahutlah amanat Presiden UMNO dengan menjadikan perhimpunan kali ini menjadi titik 'monumental' kepada UMNO meninta perjalanan di atas lembaran baru dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju baru.
- Utusan