Nik Aziz, Karpal dicabar nyata pendirian

Sunday, October 24, 2010 ·

24-10-2010

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh sekali lagi dicabar menyatakan pendirian berhubung gagasan penubuhan negara Islam yang dicita-citakan oleh Pas.

Wakil Puteri UMNO, Idamoerni Zakaria ketika melemparkan cabaran itu berkata, satu ketika dahulu Pas pernah menganggap UMNO sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC, namun sekarang parti itu sanggup mengkafirkan diri sendiri apabila bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini jelas terbukti Pas sanggup menggadaikan diri semata-mata mengejar kepentingan politik dan kuasa. Oleh itu, saya cabar Nik Aziz, saya cabar Karpal untuk menyatakan pendirian mengenai penubuhan negara Islam itu.

"Berbeza dengan UMNO, dari dulu hingga sekarang, tetap konsisten dengan perjuangan agenda bangsa dan Islam. Apa yang berubah hanya pendekatan, disesuaikan setimpal dengan peredaran zaman serta kehendak semasa," katanya.

Beliau berucap menyokong usul agama dan pendidikan yang dibentangkan oleh wakil Perak, Datuk Rosli Husin pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Mengulas lanjut, Idamoerni yang juga Exco Puteri UMNO berkata, UMNO dari dulu hingga kini menitikberatkan kesederhanaan dalam memimpin, dipimpin serta bekerja.

Jelasnya, ketika Islam dipersenda menerusi karikatur Nabi Muhammad SAW, pemimpin UMNO membantah tindakan tersebut selain menyelamatkan ramai gadis yang dilarikan ke Lombok, Indonesia dan bertungkus lumus mententeramkan keadaan ketika kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) berkempen memburukkan Malaysia.

"Ketika itu di mana pembangkang? Apakah mereka hanya menunggu saat dan ketika untuk menguar-uarkan kegagalan kita dalam Harakah, Malaysiakini dan sebagainya? Inilah dia tindakan orang pengecut, penakut dan bacul," tegasnya.

Mengenai usul pendidikan, beliau berkata, usaha kerajaan melalui penubuhan Talent Corp. harus dijadikan aset menguruskan golongan pekerja berkepakaran tinggi serta memanggil kembali rakyat tempatan yang berkhidmat di luar negara.

"Kerajaan harus memastikan adanya sistem sokongan seperti insentif menarik dan pekerjaan yang menggunakan sepenuhnya kepakaran mereka.

"Jangan hanya guna isu nasionalisme untuk memanggil mereka pulang tetapi harus disediakan faedah-faedah yang setaraf dengan apa yang mereka peroleh di luar," jelasnya.

Beliau seterusnya menyeru kerajaan agar tidak melupakan belia lepasan Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang Usuluddin atau Syariah.

www.utusan.com.my/

0 comments: