Ruang niaga PWTC mulai sibuk

Tuesday, October 19, 2010 ·

19-10-10


Para peniaga yang menyewa lot-lot perniagaan di ruang legar Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur membuat persiapan terakhir sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 selama lima hari yang dijadualkan bermula hari ini.
KUALA LUMPUR, 18 Okt - Ruang niaga awam atau gerai jualan, satu kemestian pada setiap kali berlangsung Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sekali lagi dijangka menjadi tumpuan orang ramai apabila ia dibuka mulai esok.

Bagi memeriahkan lagi perhimpunan parti Melayu terbesar kali ini, pihak pengurusan PWTC mengeluarkan lesen bagi 320 buah tapak jualan di ruang legar di aras dua dan aras tiga, berbanding 220 tapak ruang niaga sebelum ini yang terhad di aras dua.

Tinjauan Bernama di PWTC hari ini mendapati para peniaga mulai sibuk di saat-saat akhir membawa masuk dan menyusun produk jualan, memasang pemidang selain berbincang sesama sendiri mengenai strategi untuk melariskan jualan.

Seperti dahulu, majoriti gerai kebanyakannya masih memberi tumpuan menjual produk yang diminati wanita khususnya tekstil, batik, pakaian, eksesori hiasan dan produk kesihatan.

Seorang peniaga, Ahmad Zaidi dari Taiping ketika ditemui di sini berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk memulakan perniagaan terutamanya kerana ini pertama kali beliau diberi peluang berniaga di kawasan perhimpunan agung UMNO.

"Saya dapat tahu mengenai peluang perniagaan di perhimpunan Umno ini dari kawan-kawan dan Internet. Banyak kali juga saya hantar permohonan akhirnya terpilih juga," katanya yang menjual batik, sampin, kerongsang, makanan ringan kerepek dan bunga di aras 3, PWTC.

"Disebabkan terlalu teruja, saya sampai di sini awal-awal pagi ini dan terus buat persiapan. Esok saya akan mulakan perniagaan seawal pukul 8 pagi," tambahnya.

Seorang lagi peniaga, Salmiah Mohd Norin pula berharap jualan barang-barang seni perhiasan kaca berdasarkan corak terkini yang ditampilkannya, dapat menarik minat pengunjung, dan menurutnya kebanyakan barangan kaca dengan pelbagai warna itu dijual pada harga berpatutan, iaitu antara RM20 dan RM580.

"Selain barang-barang seni ini, saya akan membuat demonstrasi kepada pengunjung tentang bagaimana barangan kaca ini dibuat," katanya.

Buat pertama kali, gerai-gerai yang sebelum ini ditempatkan di ruang legar tingkat bawah PWTC dibahagikan kepada dua bahagian iaitu hanya beberapa gerai korporat diadakan di ruang tersebut manakala sebahagian besar di aras tiga, bagi memudahkan pergerakan semasa perhimpunan.

Dijangka kira-kira 50,000 orang, terdiri daripada perwakilan, pengunjung bakal mengikuti perhimpunan agung selama lima hari itu. - Bernama

/hwa: utusan.com.my/

0 comments: