Najib turun ke negeri-negeri rapatkan lagi hubungan

Sunday, October 24, 2010 ·

24-10-10

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin UMNO dan rakyat di seluruh negara mulai tahun depan dilihat sebagai langkah yang dapat merapatkan lagi hubungan pemimpin dengan rakyat.

Bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah itu juga akan dapat mengukuhkan lagi keyakinan rakyat kepada kerajaan dan parti.

"Itu cukup baiklah (pengumuman akan turun ke negeri-negeri), patutnya ada perhubungan yang rapat dengan pemimpin dengan rakyat," katanya ketika ditemui selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Najib untuk turun ke negeri-negeri bertemu dengan rakyat dan pemimpin serta ahli UMNO mulai tahun depan.

Dalam ucapan penggulungan pada perhimpunan itu, Najib turut meminta UMNO di negeri-negeri mengadakan persiapan untuk program pertemuan tersebut sebagai antara pendekatan turun padang bersama dengan rakyat.

Sementara itu, Dr. Mahathir berharap transformasi politik UMNO dapat dilaksanakan dengan cara yang tegas seperti mana yang telah dinyatakan oleh Najib.

"Saya ingat ia perubahan baik, saya harap dapat dilaksanakan dengan cara tegas," ujarnya.

Pada masa yang sama, Dr. Mahathir turut mengakui ucapan penggulungan Najib mampu membangkitkan semula semangat UMNO yang terdahulu.

Katanya, penegasan Najib berhubung soal peruntukan Perlembagaan Persekutuan juga dilihat dapat mengelakkan kekeliruan rakyat.

www.utusan.com.my

0 comments: