Elak dilanda ‘sindrom bisu’

Sunday, October 24, 2010 ·

24-10-10


Para perwakilan mendengar ucapan penggulungan Datuk Hishammuddin Tun Hussein pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 23 Okt. – Institusi agama perlu bijak dalam menangani isu berkaitan agama terutama yang ditimbulkan parti politik pembangkang agar mereka tidak dilihat seperti dilanda ‘sindrom bisu’.

Wakil Perak, Datuk Rosli Husin, bimbang jika isu-isu yang dibangkitkan itu tidak segera diperjelaskan kepada rakyat, ia boleh menimbulkan perpecahan umat serta persepsi negatif terhadap Islam.

Dalam hubungan ini, katanya, Majlis Agama Islam di negeri-negeri perlu agresif dan senada ketika memberi penjelasan berkaitan soal hukum dan fatwa agar difahami umum.

“Sejak kebelakangan ini, teguran-teguran dan nasihat lebih banyak datang dari pentas politik berbanding Majlis Fatwa atau Majlis Agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Contohnya, isu tazkirah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita bukan Islam dari DAP, isu duit sumbangan dari wang judi lumba kuda kepada umat Islam di Pulau Pinang dan isu khatib mendoakan kesejahteraan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berucap membentangkan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di sini hari ini.

Rosli berkata, Jabatan Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga perlu dinaik taraf kepada sebuah kementerian penuh supaya segala urusan yang berkaitan soal Islam dapat dipantau dengan lebih dekat.

“Tindakan drastik tentunya dapat dibuat tanpa menunggu keputusan peringkat negeri terutama berkaitan akidah, ajaran sesat, kes tukar agama, pembuangan bayi, anak luar nikah dan sebagainya.

“Malah, ia juga dapat mengelakkan daripada pandangan yang berbeza dan bercanggah tentang sesuatu isu yang berbangkit, akhirnya kita akan dapati kesucian dan kedaulatan Islam itu dapat diurus tadbir dengan berkesan dan menjadi rujukan mudah masyarakat Islam,” ujarnya.

www.utusan.com.my/

0 comments: