Pemimpin peringkat tertentu akan diubah - Najib

Sunday, October 24, 2010 ·

24-10-10

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat perubahan pada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu dalam masa terdekat, sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Presiden UMNO berkata, beliau akan berunding dengan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga Naib Presiden - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, bagi merangka formula terbaik melengkapkan persiapan itu.

"Saya akan buat perubahan pada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu, semoga dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persiapan kita," katanya dalam ucapan penggulungan pada akhir Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Najib tidak menolak kemungkinan perubahan itu akan turut melibatkan pimpinan peringkat negeri.

''Semua kemungkinan boleh tetapi yang pasti ia akan mengikut keadaan. Saya akan maklumkan apabila sampai masanya,'' katanya.

Tempoh mandat Parlimen sekarang akan berakhir menjelang pertengahan 2013.

Ditanya sama ada rancangannya untuk 'turun padang' ke seluruh negara mulai tahun depan merupakan petunjuk PRU-13 semakin hampir, Perdana Menteri berkata, ia boleh ditafsirkan dari pelbagai sudut.

''Namun yang paling penting, tujuan saya dan Muhyiddin untuk turun ke negeri-negeri hanyalah untuk bertemu rakyat setempat. Kita akan jelajah semua negeri dan tidak satu pun akan terkecuali,'' katanya.

Menurutnya, sejak setahun lalu tumpuan diberikan kepada usaha membangunkan negara dan rakyat, apatah lagi dalam keadaan negara berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius.

''Setelah pemulihan ekonomi sudah mantap dan pelan transformasi telah pun kita rumuskan dengan begitu teliti, Insya-Allah Isnin ini akan ada pengumuman besar itu yang bererti segala perancangan sudah sedia untuk dilaksanakan.

''Oleh itu tumpuan saya selepas ini ialah rakyat di negeri-negeri,'' katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib mengarahkan para pemimpin UMNO di negeri-negeri membuat persediaan rapi untuk program 'turun padang' beliau dan Muhyiddin, malah mencabar mereka memastikan ia mendapat sambutan baik.

www.utusan.com.my

0 comments: