Najib peka dalam diam - Hishammuddin

Sunday, October 24, 2010 ·

24-10-10

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Dalam kesungguhan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak melaksanakan pelan transformasi kerajaan dan ekonomi, ramai yang tidak sedar dalam diam-diam beliau memerhati dengan penuh kesabaran tentang keadaan di dalam parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemerhatian itu mencakupi aspek siapa yang melatah, angkuh, mengambil kesempatan dan mereka yang hendak menjadi jaguh.

Dalam parti komponen pula katanya, beliau memerhati mereka yang suka mengambil jalan mudah dan parti komponen yang tidak setia dan bersikap cauvinis.

"Beliau juga melihat kelakuan pembangkang yang sanggup menipu rakyat, meninggalkan prinsip, menggadaikan negara dan sanggup mengorbankan agama semata-mata untuk mendapatkan kuasa.

"Apa yang lebih menjijikkan ada yang tergamak dan membuat ahli-ahli UMNO berasa berang kerana serangan-serangan itu dilakukan oleh saudara seagama serta sebangsa dan musang berbulu ayam, sedangkan musang-musang inilah yang telah tidur dan gemuk dalam rumah UMNO," katanya sewaktu menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, dalam tempoh muhasabah serta susah selama 18 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, UMNO dapat mengenal kawan sebenar, siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang setia.

Katanya, sepanjang tempoh itu juga Najib tetap menghayati pelbagai kerisauan dan andaian tentang bagaimana kepimpinan parti akan menentukan hala tuju perjuangan.

Beliau berkata, persoalan yang timbul adalah adakah UMNO terus mempertahankan landasan perjuangan asal dan bentuk serta pengisian perubahan yang ingin dibawa.

"Akhirnya Presiden memilih Perhimpunan UMNO untuk menyatakan dan menegaskan bahawa perjuangan pokok UMNO adalah konsisten, dulu, kini dan insya-Allah selama-lamanya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru seluruh ahli UMNO berjanji pada diri sendiri dan Allah bahawa perjuangan mereka adalah untuk menyahut seruan agama, bangsa dan negara.

Katanya, ia kerana tiada yang lebih pilu daripada melihat anak bangsa melarat dan menderita dan tiada yang lebih sayu daripada melihat bangsa dan umatnya menjadi hamba di tanah air sendiri.

"Kerana kita tahu, luka UMNO cederalah Melayu, hancur UMNO berderailah Melayu, pecah UMNO berkecailah Melayu dan mati UMNO berkuburlah Melayu," tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hishammuddin menegaskan, perjuangan UMNO turut mencakupi aspek keamanan, kestabilan dan kemakmuran semua rakyat Malaysia agar agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan licin tanpa sebarang gangguan.

www.utusan.com.my/

0 comments: