Bahas hala tuju masa depan parti – TPM

Tuesday, October 19, 2010 ·

19-10-10


Muhyiddin Yassin berkata sesuatu kepada Tengku Adnan Tengku Mansor pada sidang media mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Galas di Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah di pejabat Timbalan Perdana Menteri di Parlimen, semalam. Turut kelihatan Shafie Apdal, Hishamuddin Tun Hussein dan Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap segala perbincangan dan perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 akan menjadi bahan yang akan mencorak hala tuju dan masa depan parti.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perhimpunan kali ini merupakan kesempatan untuk ahli-ahli parti membahaskan perkara-perkara yang penting bukan sahaja demi masa depan parti malah untuk bangsa, agama dan negara.

“Seluruh rakyat pastinya menunggu dengan harapan baru, hala tuju yang hendak dibawa terutama oleh Presiden (Datuk Seri Najib Tun Razak) melalui ucapan dasar Presiden yang akan disampaikan nanti.

“Saya percaya ada sesuatu yang pastinya menarik perhatian bukan sahaja Malaysia tetapi seluruh dunia kerana perhimpunan kali ini merupakan satu tempoh jadual masa yang begitu penting dalam sejarah negara,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Hadir sama, tiga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Seramai 4,907 perwakilan dijangka menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula Selasa hingga Sabtu depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung UMNO, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Muhyiddin berkata, segala persiapan untuk perhimpunan agung kali ini berjalan lancar dan mengikut perancangannya.

“Berkenaan persiapan perhimpunan kali ini, kita telah memutuskan nama-nama yang akan mewakili Ahli Majlis Tertinggi (MT) ke mesyuarat Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO,” katanya.

Menurutnya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Azian Osman dan Datuk Seri Zulhasnan Rafique akan mewakili MT ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita.

Datuk Seri Musa Aman, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Dr. Mohd. Puad Zarkashi pula menjadi wakil MT ke Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda.

“Manakala Datuk Shaziman Abu Mansor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed dan Datuk Lajim Ukim mewakili MT ke mesyuarat Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri,” katanya.

Menurut Muhyiddin, Presiden parti juga bersetuju mengenai jurucakap yang akan membahaskan tiga usul iaitu ucapan terima kasih kepada ucapan dasar Presiden, ekonomi serta pendidikan dan agama.

“Usul pertama iaitu ucapan terima kasih kepada ucapan dasar Presiden akan di bentangkan oleh pencadang dari Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil dan disokong wakil Pergerakan Wanita, Norlizah Ahmad.

“Usul ekonomi akan dibentangkan wakil Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dan akan disokong wakil Pergerakan Pemuda, Datuk Razali Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, usul pendidikan dan agama akan dibentangkan wakil dari Perak, Datuk Rosli Husin dan akan disokong wakil Pergerakan Puteri, Ida Murni Zakaria.

/hwa: utusan.com.my/

0 comments: