Barisan Baru Umno Yakin Hadapi Cabaran Besar

Thursday, March 26, 2009 ·

[Bernama, 27 Mac, 2009]
KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Tiga Naib Presiden Umno yang baru yakin barisan kepimpinan yang dipilih mampu membawa perubahan besar untuk mengembalikan semula kegemilangan Umno selepas prestasi buruk pada pilihan raya umum 2008.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin barisan baru itu akan dapat menangani cabaran besar parti itu pada masa depan.
Shafie berkata: "Cabaran besar pertama yang akan dihadapi ialah untuk memenangi tiga pilihan raya kecil pada 7 April depan iaitu Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak)".
Beliau berkata Umno perlu mengangkat agenda rakyat sebagai perjuangan utama jika parti itu mahu mengembalikan semula sokongan rakyat yang lebih padu."Umno harus berubah dari segi pendekatan, melihat apa keperluan rakyat di akar umbi, termasuk konsep penyatuan rakyat," katanya kepada pemberita.
Sementara itu Dr Ahmad Zahid menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden sebagai satu gandingan yang mantap.Katanya para perwakilan telah membuat keputusan yang bijak.Beliau juga gembira dengan barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang terpilih.
"Saya melihat 50 peratus anggota MT adalah muka baru, ketiga-tiga Naib Presiden juga adalah muka-muka baru.
"Ini adalah pasukan yang akan membantu Presiden untuk menunaikan tanggungjawab dan menterjemahkan agenda parti," katanya.
Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno berkata setiap pemimpin yang dipilih dalam barisan kepimpinan baru mempunyai peranan untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.
"Yang penting adalah membentuk satu pasukan yang mantap yang mampu memimpin negara, bukan sahaja untuk orang-orang Melayu tetapi seluruh rakyat jelata," katanya.

0 comments: