Abdullah tak akan derhaka kepada Umno

Thursday, March 26, 2009 ·

[Bernama, 26/03/09]
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata beliau tidak akan menderhaka dan bersifat gunting dalam lipatan kepada Umno kerana sejak kecil lagi beliau ditanam dengan semangat perjuangan parti itu.
Presiden Umno itu berkata, walaupun pernah mengalami pengalaman pahit sebagai anggota Umno dan pernah dihina oleh segelintir anggota parti, beliau tidak pernah menghina dan mencerca Umno, jauh sekali meninggalkannya.
Abdullah, 69, yang dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 31 Oktober 2003, berkata ujian kesetiaan adalah ketika menghadapi dugaan serta melalui era yang payah dan laluan yang susah, serta ketika tidak berjawatan dan tiada kedudukan.
"Semangat kental yang tertanam di jiwa saya menghindarkan saya daripada bersifat derhaka kepada Umno," katanya semasa menyampaikan ucapan dasar bertajuk "Masa Depan dan Survival Parti", pada Perhimpunan Agung Umno di sini hari ini.
Abdullah berkata Umno dikenalinya sejak berusia tujuh tahun kerana keluarga beliau aktif dalam gerakan menubuhkan parti itu.
Nendanya, Allahyarham Abdullah Fahim dan bapanya, Allahyarham Ahmad Badawi adalah tokoh agama dan anggota Umno yang disegani dan melalui mereka beliau berpeluang menghayati sepenuhnya perjuangan parti itu.
"Saya mewarisi darah daging, barisan pelopor Umno. Saya berpeluang terdedah dengan perjuangan Umno sejak dari usia begitu muda, lalu jiwa saya ini diselimutkan dengan ketebalan semangat perjuangan Umno.
"Saya pilih (Umno) sebagai organisasi politik untuk saya sertai dengan sumpah setia kekal taat kepada perjuangannya kerana saya kekal dan cekal yakin bahawa Umno adalah wadah perjuangan yang diasaskan dengan niat suci dan matlamat murni," katanya.
Perdana Menteri yang mengibaratkan Umno itu "berpohonkan perjuangan yang murni, berakarkan perjuangan yang suci," berkata walau apapun persepsi dan pendapat pelbagai pihak terhadap Umno pada hari ini, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa sejak Umno ditubuhkan pada 1946, parti itu menabur jasa yang bukan sedikit terhadap negara dan warga Malaysia.
Abdullah yang menyaksikan perjuangan nenda, ayahandanya serta kaum keluarganya dalam parti serta penglibatan dan pengorbanan barisan seangkatan dengan mereka, sedar bahawa kekuatan Umno didukung dan dijulang oleh para wira yang tidak bernama dan tidak berjawatan ini, yang tulus dan ikhlas dalam perjuangan mereka.
"Mereka tidak pernah meminta, malah sebaliknya sentiasa memberi, mereka yang tidak melihat Umno sebagai saluran untuk memenuhi kepentingan diri dan keuntungan peribadi," katanya.
Beliau berkata mereka mendukung dan menyokong perjuangan murni Umno dan yakin akan ketelusan, keikhlasan, kesungguhan dan ketegasan Umno membela nasib bangsa, memperjuang kemerdekaan tanah air, mengimarahkan Islam, mempertahan kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memastikan martabat bahasa Melayu dan kebudayaan Melayu dijulang.
"Merekalah yang terus menyalakan obor perjuangan Umno, obor perjuangan bangsa," katanya.

0 comments: