Hisham, keris dan Pemuda

Thursday, March 26, 2009 ·

[Utusan, 26/03/2009]
Oleh ZULKIFLEE BAKAR

HISHAMMUDDIN Tun Hussein dan barisan pemimpin Pemuda UMNO melaungkan kata-kata semangat sebelum persidangan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.
..........

TEPAT pukul 10.42 pagi semalam, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menerima Keris Pancawarisan daripada Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebagai amanah membawa perjuangan Pemuda ke peringkat lebih tinggi.
Setelah 11 tahun menerajui Pemuda, Hishammuddin yang kelihatan menitis air mata akan meninggalkan pergerakan itu bagi meneruskan langkah lebih jauh dalam arena politik negara. Beliau yang akan bertanding jawatan Naib Presiden hari ini, sudah pasti akan mengingati segala jasa Pemuda yang mendidiknya menjadi pemimpin yang berjaya.
Hishammuddin tidaklah mengambil jawatan Ketua Pemuda dalam dulang emas pada tahun 1999, sebaliknya beliau ibarat menerima jawatan berkenaan dalam penuh kegetiran. Ketika itu UMNO berhadapan dengan krisis politik yang amat berat, ia tercetus berikutan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri. Hishammuddin dipilih memangku jawatan berkenaan apabila penyandang jawatan itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan tersebut.
Sejak itu bermula era kepimpinan Hishammuddin yang penuh dengan kegetiran, namun sebagai seorang yang mewarisi bakat politik bapanya yang merupakan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, Hishammuddin tabah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan sehinggalah beliau berjaya meletakkan Pemuda sebagai satu barisan yang diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Bagaimanapun sudah pasti Hishammuddin meninggalkan Pemuda dengan satu kenangan yang akan terpahat dalam sejarah politik negara apabila menjadi satu-satu pemimpin Melayu yang mendaulatkan kembali keris sebagai lambang keperkasaan Melayu.
Kemunculan pertama kali keris Pancawarisan ke pentas persidangan Pemuda UMNO pada tahun 2005 telah mencetuskan kontroversi. Walaupun dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007, beliau menjelaskan mengenai kedudukan keris berkenaan namun apabila dalam pilihan raya umum 2008, Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan teruk, isu keris turut dibangkitkan.
Dalam hujah sesetengah pihak mereka menganggap keris berkenaan telah menyebabkan kaum lain tidak mahu mengundi BN. Berikutan itu Hishammuddin telah meminta maaf seandainya perbuatan menghunus keris mengguris perasaan kaum lain tetapi beliau sama sekali tidak pernah meminta maaf kerana memartabatkan keris sebagai lambang kemelayuan yang mendukung kedaulatan, kekuasaan, maruah, jati diri, amanah dan tanggungjawab.
Tindakan Hishammuddin memohon maaf telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dan menganggap ia sebagai pengkhianatan kepada orang Melayu. Lanjutan itu, dalam kempen merebut jawatan Naib Presiden, bertebaranlah SMS dan surat layang yang memburuk-burukkan beliau.
Berikutan itu, Hishammuddin secara tegas dalam ucapannya semalam berkata, beliau sama sekali tidak akan mengkhianati orang Melayu dan menyerahkan kepada Tuhan terhadap perbuatan fitnah yang ditujukan kepadanya.
Dalam persidangan semalam juga, Hishammuddin sekali lagi mengucup keris Pancawarisan. Apa yang berlainan kali ini ia tidak dihunuskan bagi mengelakkan mana-mana pihak memanipulasikan perbuatan berkenaan. Seperti mana beliau jelaskan dalam Perhimpunan Agung 2007, perbuatan mengucup keris bukan sekadar menerima kuasa tetapi ada kaitan dengan tugas yang datang bersamanya. Perlakuan ini ada hubungannya dengan kesediaan menjunjung tinggi tugas yang diwarisi dengan penuh keinsafan dan kejujuran.
Kini Hishammuddin meninggalkan Pemuda dan beliau telah diamanahkan membawa bersama Keris Pancawarisan sebagai amanah meneruskan perjuangan pergerakan itu ke peringkat lebih tinggi. Hishammuddin akan mengikut jejak Datuk Seri Najib Tun Razak yang suatu ketika dulu daripada Ketua Pemuda bertanding Naib Presiden.
‘‘Kejayaan Hishammuddin di peringkat Naib Presiden amat penting bagi memberikan isyarat bahawa Pemuda adalah kilang yang mengeluarkan pemimpin pelapis UMNO,” kata seorang pemimpin Pemuda ketika ditemui.
Hishammuddin dilihat salah seorang pemimpin yang berjaya dilahirkan Pemuda sejak 18 tahun lalu. Beliau bermula sebagai perwakilan mewakili Bahagian Ledang dan Tenggara, dipilih menganggotai barisan exco sebelum menjadi Naib Ketua Pemuda dan akhirnya diberi mandat untuk mengemudi pergerakan itu selama 11 tahun.
Bagaimanapun Hishammuddin pernah memberitahu penulis bahawa beliau tidak akan ‘meninggalkan’ Pemuda, sebaliknya semangat Pemuda akan terus bersemadi dalam sanubarinya sepanjang perjuangan dalam arena politik negara.
Berikutan peninggalan Hishammuddin, Pemuda akan diterajui oleh ketua baru iaitu Khairy Jamaluddin dan sudah pasti tugas ketua baru bukanlah mudah, apatah lagi beliau mewarisi kepimpinan Pemuda ketika tuntutan begitu mendesak bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO.
Kewujudan hampir dua juta pengundi baru yang terdiri daripada generasi baru sudah pasti menjadikan tugas sebagai Ketua Pemuda semakin berat.
Atas sebab itulah dalam ucapan dasarnya, Hishammuddin mengingatkan kepimpinan baru Pemuda perlu terus berusaha menarik minat golongan muda untuk menyertai UMNO dan menyemarakkan semangat berkhidmat untuk parti.
Bagi melaksanakan tugas berkenaan, ketua yang baru tidak harus melihat mereka yang tewas dalam pertandingan yang berlangsung sebagai musuh. Ini kerana calon yang tewas turut juga mempunyai kemampuan, kewibawaan dan kredibiliti masing-masing.
Berdasarkan hakikat itu, Ketua yang baru perlu berusaha merapatkan barisan dengan menghulurkan salam persahabatan kepada bekas pesaing-pesaingnya untuk mereka sama-sama menyumbang kepada kemantapan perjuangan Pemuda.
Perasaan benci, sakit hati dan dengki harus disingkirkan kerana perjuangan utama Pemuda bukanlah merebut undi dalam parti tetapi merebut undi rakyat.
Jika Pemuda berpecah sudah pasti segala amanah yang ditinggalkan oleh Hishammuddin tidak dapat dilaksanakan dan ini akan menyebabkan pergerakan itu terus menjadi lemah, sedangkan tanpa keutuhan Pemuda tidak akan mungkin UMNO mampu menarik sokongan generasi muda.
Justeru segala pesanan Hishammuddin yang boleh disifatkan meninggalkan Pemuda dalam keadaan berpadu dan mantap harus dipelihara oleh kepimpinan yang baru.

0 comments: