Ikrar Muhyiddin

Thursday, March 26, 2009 ·

[Bernama, 26/03/09]

KUALA LUMPUR 26 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk setia di bawah kepimpinan Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi bersama-sama mencurahkan segala usaha untuk mengukuhkan semula parti itu.
Beliau yang memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO, sedar sebagai orang nombor dua dalam parti terlalu banyak amanah dan tanggungjawab yang terpaksa dipikul.
Apa yang penting ketika ini, tegasnya ialah memastikan Najib tidak dibiarkan keseorangan untuk menghadapi apa jua rintangan serta cabaran yang berlaku di dalam parti dan negara.
''Saya akan sentiasa setia kepada kepimpinan dan berperanan sebagai orang nombor dua kepada Datuk Seri Najib dan bukan orang nombor satu.
''Keutamaan saya ketika ini ialah mengukuhkan semula parti dan membela nasib rakyat. Saya berjanji segala pengalaman, bakti, usaha dan keringat akan saya curahkan sepanjang saya memegang jawatan ini,'' katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas pengumuman pemenang bagi pemilihan jawatan Majlis Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Pada pemilihan hari ini, beliau berjaya memperoleh sebanyak 1,575 undi menewaskan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang meraih 919 undi.
Muhyiddin meminta semua rakan di dalam parti sama ada menang atau kalah membantu beliau dan Presiden merealisasikan agenda parti dan negara.
''Saya menyeru kepada rakan yang menang atau kalah supaya merapatkan barisan kerana saya anggap soal perpaduan parti dan membangunkan rakyat adalah lebih utama.
''Kita adalah dalam satu keluarga dan ini merupakan pertandingan keluarga. Oleh itu kita tidak harus menjadikan proses pemilihan sebagai sebab kita berpecah. Saya amat berharap semua daripada kita bertaut semula,'' tambahnya.
Mengenai kombinasi barisan kepimpinan UMNO untuk tiga tahun akan datang, beliau menyifatkannya sebagai barisan harapan ahli UMNO dan rakyat Malaysia.
''Perwakilan telah melaksanakan tugas mereka dengan baik dan saya melihat kematangan mereka memilih pemimpin-pemimpin parti dalam pemilihan kali ini.
''Kepada perwakilan yang memilih saya, rakan-rakan yang menyokong saya, saya ucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan. Ini bagi saya adalah amanah Allah yang wajib saya tunaikan dengan sebaik-baiknya,'' katanya lagi.

0 comments: