Pemerhati Luar Puji Peralihan Kuasa Umno Secara Aman

Thursday, March 26, 2009 ·

[Bernama, Jumaat, Mac 27, 2009]
Oleh Mohd Azril AnnuarKUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Ramai kalangan pemerhati asing hari ini menyuarakan pendapat yang hampir sama ketika memuji proses peralihan kuasa dalam Umno yang berlangsung secara aman.
Duta Besar Indonesia Tan Sri Prof Dr Da'i Bachtiar berkata peralihan kuasa secara aman yang berlangsung secara sukarela itu amat unik, dan menurutnya ia adalah perkembangan yang cukup baik.
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di luar Perhimpunan Agung Umno 2008 di sini beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin tertinggi parti adalah contoh terbaik untuk diteladani anggota-anggota parti yang muda.
"Terutama jika dilihat bagaimana beliau (Abdullah) mendaki liku-liku politik hingga sampai kepuncak tanpa mengharapkan apa-apa balasan, sekadar berbekalkan hasrat murninya untuk berbakti," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa dan Keselamatan Kazakhstan Nurbakh Rustemov pula berkata beliau juga gembira melihat peralihan kuasa pentadbiran negara berlangsung secara aman, sama sekali berbeza daripada negara-negara lain, sebagaimana yang sering didengar sebelum ini.
"Peralihan kuasa di Malaysia bukan membabitkan dari satu parti ke parti yang lain, sebaliknya ia dikekalkan dalam ruang lingkup parti itu sendiri, namun ia tetap berlangsung secara demokratik," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
"Amat menarik untuk melihat bagaimana anggota parti benar-benar menghayati slogan parti 'Bersatu, Bersetia, Berkhidmat'; malah selepas bersara mereka kekal menjadi anggota parti yang setia," kata beliau yang juga merupakan anggota parlimen parti pemerintah Kazakhstan, Nur-Otan.
Rustemov seterusnya menyuarakan harapan agar hubungan dua hala, ekonomi dan perdagangan antara Kazakhstan dan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri nanti akan bertambah baik.

0 comments: