Muhyiddin Timbalan Presiden Umno Yang Baru

Thursday, March 26, 2009 ·

[Bernama, 26 Mac, 2009]
Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin melambai ke arah sekumpulan jurufoto selepas beliau diumumkan memenangi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada perhimpunan agung parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Muhyiddin yang memperolehi 1,575 undi menewaskan pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib. Foto: Bernama Team
*****

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Presiden Umno yang baru selepas menewaskan pencabarnya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib pada pemilihan parti itu hari ini.Beliau memperoleh 1,575 undi.
Pengerusi tetap Umno Tan Sri Onn Ismail mengumumkan keputusan pemilihan pada pukul 10.45 malam di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Tiga calon pada awalnya dinamakan bertanding jawatan timbalan presiden Umno, bagaimanapun Datuk Seri Mohd Ali Rustam baru-baru ini dilarang daripada bertanding kerana didapati melakukan kesalahan mengikut perkara 10.1 Tata etika Ahli Umno oleh Lembaga Disiplin.
Muhyiddin, 62, anggota Parlimen Pagoh, dan juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, sebelum ini memegang jawatan naib presiden Umno.
Beliau memenangi kerusi naib presiden buat pertama kali pada tahun 1993 dengan mendapat undi tertinggi sebanyak 1,113 undi, tetapi gagal mengekalkan jawatan itu pada pemilihan 1996.
Pada pemilihan Umno tahun 2000, Muhyiddin berjaya merebut kembali jawatan naib presiden dan mengekalkan kedudukan selama dua penggal sebelum menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden, yang dikosongkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertanding jawatan presiden parti.
Bekas menteri besar Johor dari tahun 1986 hingga 1995 itu, memulakan kerjaya politiknya di dalam Umno pada tahun 1970 selepas tamat pengajian Universiti Malaya dalam bidang Ekonomi dan Pengajian Melayu. Beliau ketika itu dilantik sebagai bendahari Umno Bahagian Muar-Pagoh.
Lima tahun kemudian beliau dilantik sebagai naib ketua bahagian, dan pada tahun yang sama dipilih sebagai Ketua Pemuda Pagoh.Kerjaya politiknya terus bersinar apabila dipilih sebagai calon Barisan Nasional untuk pilihan raya umum 1978 bagi kerusi parlimen Pagoh.Beliau menjadi wakil rakyat Pagoh sehingga pilihan raya umum 1986 untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang.Selepas dua penggal sebagai Adun, Muhyiddin kembali bertanding kerusi parlimen Pagoh pada pilihan raya umum 1995 dan mengekalkan kerusi itu hingga sekarang.
Muhyiddin yang pernah jatuh bangun di dalam Umno, pada tahun 1981 dilantik sebagai setiausaha parlimen Kementerian Luar Negeri sebelum dinaikkan ke jawatan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan sembilan bulan kemudian. Setahun selepas itu beliau dipindahkan ke Kementerian Perdagangan dan Industri dengan memegang jawatan yang sama.
Beliau kemudian kembali ke negeri asalnya untuk menjadi Menteri Besar sebelum ke kerajaan pusat pada tahun 1995 dan dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.
Empat tahun kemudian beliau menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang telah memainkan peranan penting dalam memperkenal harga siling untuk beberapa barang keperluan serta menentang pengeluaran dan penjualan CD dan VCD cetak rompak.
Pada Januari 2004, berikutan rombakan semula kabinet dengan pelantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri yang baru, Muhyiddin diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian, dan dua bulan kemudian kementerian itu ditukar nama kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan selepas pilihan raya umum Mac 2008, beliau dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Anak kelahiran Muar, Johor ini merupakan seorang pemimpin yang berpengalaman bukan sahaja di dalam politik, malah pernah memegang jawatan kerajaan sebagai Pegawai Tadbir (Penolong Setiausaha) di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada tahun 1970 sebaik lulus pengajiannya di universiti.Lima tahun kemudian beliau meninggalkan kerjayanya dalam kerajaan untuk menjadi pengurus besar dan pengarah Sergam Bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.
Beliau kemudian dilantik oleh Menteri Besar Johor pada masa itu Tan Sri Othman Saat, untuk menubuhkan Sri Saujana Bhd, syarikat yang ditaja anggota Umno Bahagian Pagoh pada tahun 1977.

0 comments: