Safkan Pemimpin Ampuh II

Thursday, March 26, 2009 ·

[Mar 26th, 2009 By admin Category: Berita Eksklusif]
KUALA LUMPUR, 26 Mac – Keputusan pemilihan pergerakan tiga sayap UMNO telah pun diketahui yang mana menyaksikan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menjadi teraju Wanita UMNO, Khairy Jamaludin memenangi jawatan Ketua Pemuda manakala Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menjadi Ketua Puteri bagi sesi pemilihan 2008 hingga 2011.
Hari ini pula, pemilihan bagi mengisi anggota Majlis Tertinggi berlangsung dan keputusan yang akan diumumkan pada sebelah malam tentunya akan menjawab segala persoalan berkaitan siapa barisan kepimpinan untuk penggal seterusnya dalam MT UMNO.
Sesungguhnya persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2008 ini akan melakarkan detik baru dalam sejarah pentadbiran dan kepimpinan bukan sahaja kepada parti tetapi juga kepada masyarakat umum.
Persidangan kali ini sememangnya menjadi tumpuan apatah lagi di dalamnya terkandung perancangan untuk pelan peralihan kuasa antara Presiden dan timbalannya di samping pemilihan peringkat pusat.
Lantas, calon-calon yang menang dan mengisi kerusi MT ini akan menjadi pencetus kepada gerakan baru parti untuk kesinambungan dalam pentadbiran akan datang.
Dalam hal ini, apapun keputusan dalam pertandingan tentunya ramai pihak mahukan perjuangan UMNO terus kukuh, ibaratnya biarpun berkocak janganlah sampai tertumpah.
Perpaduan dan keteguhan parti bergantung kepada terajunya untuk menentukan hala tuju ahli-ahli UMNO dengan membina semangat perpaduan dan persaudaraan di samping menghayati landasan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu.
Dalam masa yang sama, cabaran-cabaran dalaman yang sentiasa cuba mengambil kesempatan untuk menjatuhkan parti dan cuba menumbangkan Kerajaan sememangnya perlu ditangani dengan cermat.
Justeru, kematangan percaturan politik dalam kepimpinan MT akan datang menjadi penentu dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas iaitu untuk menyatukan masyarakat menerusi dasar-dasar yang adil dan saksama.
Apa yang perlu difahami, UMNO bukan sahaja berpolitik, UMNO juga telah menerajui reformasi budaya dalam mempertahankan diri dan bangsa Malaysia sendiri dari ledakan maklumat dan kemewahan di samping krisis lain.
Sesiapa pun pasti tidak akan dapat menafikan bahawa sejak dari awal penubuhan hingga membawa kepada kemerdekaan negara hanya UMNO sahaja yang mampu memperkasakan bangsa termasuk menggembleng parti-parti bukan Melayu bekerjasama di bawah Perikatan dan kemudian BN malah sehingga ke hari ini juga.
Lantaran itu, UMNO tidak boleh lemah atau kelihatan lemah kerana ia akan menggambarkan lambang Melayu, yang secara tidak langsung mewakili kesatuan sebuah bangsa.
Berkaitan dengan persepsi masyarakat khususnya generasi muda yang melihat bahawa UMNO sebuah parti yang dipenuhi elemen kronisme dan nepotisme, serta subur dengan amalan ‘politik wang’, sememangnya ia perlu dibanteras dan disekat.
Lantas, jika ada kecacatan atau kelemahan yang timbul berkaitan permasalahan parti, merosakkannya bukanlah jalan penyelesaian sebaliknya ia perlu ditangani dengan baik ibarat menarik rambut dari tepung, agar segala kepincangan dapat ditangani.
Begitu juga dengan pemilihan ini, tentunya dalam pertandingan akan ada yang menang dan tewas, lantas kekecewaan pasti akan terasa. Namun begitu, janganlah pula dijadikan parti sebagai tempat untuk menghamburkan kekecewaan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan lain.
Lantaran itu, kebijaksanaan dalam UMNO dan kebolehan pemimpin-pemimpinnya melaksanakan tanggungjawab yang digalas mampu untuk menyatukan ahli-ahlinya melalui perpaduan dengan prinsip yang adil dan saksama.
Sesungguhnya, prinsip perjuangan UMNO yang kekal hingga ke hari ini menjadi tulang belakang dalam pentadbiran Kerajaan. Sehingga kini, percaturan UMNO sebagai satu pertubuhan yang membela nasib bangsa, agama dan negara tetap diteruskan dari semua peringkat.
Kepada para perwakilan, Selamat Mengundi!

0 comments: