Barisan UMNO mesra Najib

Thursday, March 26, 2009 ·

BARISAN kepimpinan baru. Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin serta Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Tun Hussein dan Shafie Apdal semasa pengumuman keputusan pemilihan Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka malam tadi.
*****
KUALA LUMPUR - "Saya akan setia dengan Najib.'' Itu adalah antara komen awal Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kemenangannya sebagai Timbalan Presiden UMNO di sini malam tadi.
Kata-kata itu mengesahkan bahawa Presiden UMNO yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal mempunyai kombinasi terbaik pilihan perwakilan.
"Saya akan bantu beliau (Najib) dan tidak menghampakan harapan ahli parti dan rakyat dan dari segi parti, kita akan memperkukuhkan parti dan hubungan," ujarnya.
Muhyiddin mendapat undi sebanyak 1,575 mengalahkan pencabarnya, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib yang memperoleh 916 undi. Seramai 2,509 perwakilan terlibat dalam pemilihan itu.
Sementara itu, Muhammad yang gagal dalam cubaan menjadi Timbalan Presiden ketika ditemui berkata: "Saya mengucapkan syabas kepada mereka yang berjaya dan selepas ini UMNO mesti bertaut dan bercantum menjadi parti yang kuat."
Dengan adanya 'aku janji' Muhyiddin, kesetiaan Muhammad dan kemenangan tiga naib presiden pada pemilihan kali ini yang dilihat sebagai barisan yang rapat dengan Najib, ia memberi laluan mudah kepada bakal Perdana Menteri itu untuk mengemudi bahtera parti dan negara pada masa depan.
Ini kerana ketiga-tiga Naib Presiden UMNO yang baru - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Mohd. Shafie Apdal - ada kaitan dengan Najib sepanjang kariernya.
Ahmad Zahid merupakan bekas setiausaha politiknya, Hishammuddin pula sepupunya manakala Shafie pula timbalannya semasa Najib menerajui Kementerian Pertahanan.
Gandingan tersebut, selain ikrar taat setia Muhyiddin, melengkapkan pasukan Najib.
Dalam pada itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang baru, Khairy Jamaluddin juga dilihat tidak ada masalah berganding dengan Najib.
Begitu juga jika dilihat pada barisan Ahli Majlis Tertinggi (MT) terutama muka baru seperti Datuk Ismail Sabri Yaakob, Datuk Saifuddin Abdullah selain penyandang MT lain seperti Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Datuk Noh Omar, Datuk Idris Haron dan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

0 comments: