UMNO tidak takut untuk berubah

Wednesday, November 4, 2009 ·

Utusan - 16/10/2009
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

pengarang@utusan.com.my
UMNO mungkin satu-satunya parti yang paling responsif kepada perkembangan semasa!
Untuk menjadi parti yang dinamik dan memenuhi kehendak ahli dan rakyat terbanyak, ia tidak takut untuk berubah.
Jika sebelum ini, perlembagaan parti dipinda untuk memperkenalkan sistem kuota bertujuan mengekang politik wang, semalam - UMNO tidak segan berpatah balik menghapuskan sistem kuota demi matlamat yang sama membanteras gejala negatif itu.
Untuk menjadi lebih demokratik, pindaan dimuktamadkan bagi memulangkan proses memilih pemimpin tertinggi kepada 146,500 perwakilan di peringkat bahagian. Sebelum ini, ia menjadi hak eksklusif 2,500 perwakilan yang layak ke Perhimpunan Agung UMNO.
Pindaan semalam juga menghapuskan halangan untuk ahli UMNO bertanding, selain syarat minimum ditetapkan untuk calon yang bertanding di peringkat bahagian atau pusat.
Menjadi harapan semua pindaan tujuh fasal serta 41 klausa dalam perlembagaan parti itu mampu menjadi serampang pelbagai mata - merealisasikan pelbagai matlamat murni yang dicitakan di sebalik usaha pindaan itu.
Mudah-mudahan hasrat dan semangat pindaan tercapai.
Selepas proses menjadi ahli UMNO dipermudahkan - seperti disentuh Presiden - diharap tidak ada lagi kes borang permohonan 'hilang' di tengah jalan atau cicir di mana-mana.
Kuasa telah diberikan kepada ketua cawangan dan ketua-ketua sayap di peringkat cawangan untuk meluluskan permohonan.
Justeru sejauh mana keupayaan sesebuah cawangan menarik penyertaan penduduk di kawasan mereka menganggotai UMNO memang patut menjadi ukuran Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Tidak patut lagi timbul masalah untuk sesiapa pun menjadi ahli di mana-mana cawangan.
Apatah lagi isu remeh kegagalan ahli menghadiri mesyuarat gara-gara tidak membayar yuran tahunan RM2.
Jika masih ada masalah, ia akan dilihat sebagai onar peringkat cawangan!
Dayung sudah di tangan - terpulang kepada ahli menggerakkan perahu perubahan untuk membawa parti terus maju ke depan.
Tidak ada gunanya jika Presiden dan Timbalan Presiden parti sahaja sanggup membuang perisai yang melindungi kedudukan mereka sedangkan orang lain terus mahu bergayut dengan jawatan.
Sikap sebeginilah yang mendorong menularnya politik wang.
Keikhlasan UMNO untuk berubah memulangkan hak memilih pemimpin parti itu kepada akar umbi, akan dinilai rakyat.
Tidak boleh tidak, pemimpin perlu mendekati ahli akar umbi kerana golongan ini yang hampir dengan rakyat akan menilai prestasi mereka.
Mungkin ada suara-suara pesimis yang sangsi dengan perubahan ini. Namun kesan positif pindaan perlembagaan sebenarnya tidak dapat dinafikan.
Suka atau tidak, mahu tidak mahu, pemimpin UMNO perlu turun ke bawah berjumpa rakyat.
Ini kerana, era pemimpin yang hanya popular di peringkat nasional atau dalam kalangan perwakilan di PWTC sahaja sudah berlalu.

0 comments: